Politikkan pencerobohan Lahad Datu, ATM mula bersuara!

KUALA LUMPUR– Bukan sandiwara!

Itu ketegasan dinyatakan Panglima Angkatan Tentera Malaysia ( ATM), Jeneral Tan Sri Dato’ Sri Haji Affendi Buang terhadap pihak yang mempolitikkan insiden pencerobohan di Lahad Datu pada 2013.

Beliau berkata, ATM amat terkesan dengan kenyataan seorang ahli politik yang mengaitkan pencerobohan itu sebagai sandiwara.

“Tuduhan anggota ATM membuat serangan kepada ayam dan anjing juga merupakan tuduhan yang tidak benar.

“Tuduhan itu juga memperlekehkan tugas serta tanggungjawab anggota tentera serta pasukan keselamatan lain dalam mempertahankan negara ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Terdahulu, tular video kempen pemimpin Warisan, Datuk Muhamaddin Ketapi yang menghina pasukan keselamatan yang bertempur dalam pencerobohan Lahad Datu 2013.

Selain mendakwa pencerobohan sebagai sandiwara, beliau tanpa rasa bersalah menuduh pasukan keselamatan bertempur dengan ayam dan anjing.

Affendi berkata, kenyataan ahli politik berkenaan tidak dapat diterima sama sekali serta menyinggug perasaan keluarga ATM dan polis yang terkorban.

“Adalah ditegaskan bahawa ATM ialah benteng pertahanan di mana organisasi ini sentiasa bersedia dalam sebilang masa dalam melaksanakan tugas dalam mendepani pelbagai ancaman.

“Walau apapun halangan atau cabaran yang mendatang, aspek pertahanan negara sentiasa didahulukan bagi mengekalkan kesejahteraan serta kedaulatan negara ini,” katanya.

Menurutnya, ATM telah memasuki usia 87 tahun penubuhan pada 16 September lalu.

Selama itu , katanya, telah banyak darah, keringat dan pengorbanan mereka terdahulu dicurahkan demi memastikan keharmonian , keamanan dan kesejahteraan rakyat Malaysia sentiasa terpelihara.

“Kenikmatan yang tersedia ini tidak datang bergolek sebaliknya ia telah meriwayatkan satu perjuangan yang mempertaruhkan nyawa dalam mempertahankan setiap inci bumi tercinta ini,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia dinasihati tidak mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan dan memudaratkan terhadap keharmonian negara.

Menurutnya, rakyat Malaysia sewajarnya mengambil peranan bersama pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara kerana itu tanggungjawab bersama.

“ATM dengan sokongan dan keprihatinan kerajaan serta rakyat akan terus disiapkan untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan.

“Keupayaan ATM pada masa kini bukan sekadar berupaya mempertahankan kedaulatan negara malah ATM juga berupaya untuk menyumbang kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat yang dinaungi negara,” katanya.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.