Perkara tidak wajar Malaysia menjelang Piala AFF

KUALA LUMPUR- Persediaan skuad kebangsaan di bawah jurulatih Tan Cheng Hoe dalam menghadapi Piala AFF Suzuki tahun ini agak janggal.

Berikut perkara tidak wajar dilakukan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) beserta rumusan.

Mengadakan perlawanan menentang Kemboja pada 10 September lalu.

Kemboja ialah pasukan pertama bakal ditentang Malaysia pada perlawanan sulung Piala AFF Suzuki, 8 November ini di Stadium Olimpik  Phnom Penh.

Pada September lalu, Cheng Hoe menguji pemain dengan menentang pasukan sama yang dibimbing jurulatih baharu, Keisuke Honda.

Dibimbing Honda, Kemboja tidak boleh dipandang remeh oleh skuad kebangsaan

Venue perlawanan Khamis ini juga tidak berubah seperti mana perlawanan pada September.

Walaupun mengatasi pasukan lawan dengan kemenangan 3-1, keputusan kali ini belum tentu akan memihak kepada skuad negara.

Begitu pelik, apabila FAM mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan bakal ditentang.

Apa pun, FAM mungkin ada alasan tersendiri demi kebaikan pasukan kebangsaan.

Pada pertemuan persahabatan sebelum ini, Malaysia bergelut sebelum menang selepas ketinggalan 1-0 pada separuh masa pertama.

Gol Malaysia hanya hadir pada minit 62, 74 dan tiga minit dalam masa tambahan melalui Shahrul Mohd Saad, Muhammad Syazwan Andik dan Muhammad Shahrel Fikri Mohd Fauzi.

Pastinya kedua-dua pasukan dapat menilai kelemahan dan kekuatan pasukan masing-masing.

Tetapi dibawah bimbingan Honda, perlawanan tersebut mungkin memberi lebih kelebihan kepada lawan.

Umum mengetahui, Honda adalah pemain terbaik pasukan Jepun dan berpengalaman luas bermain  di pentas Piala Dunia.

Pemain dilahirkan di Settu Osaka pada 13 Jun 1986 itu mahir di posisi penyerang, tengah,  bijak merancang permainan serta pakar bola mati.

Beliau juga mempunyai kemahiran mengelecek dan sepakan percuma.

Sebahagian elemen itu ada pada skuad Kemboja yang dibentuk September lalu.

Pemain lawan mempunyai deretan peluang merobek gawang skuad negara namun gagal disudahkan dengan baik.

Stamina juga menjadi pemisah di antara kedua pasukan. Pemain negara lebih cerdas sepanjang 90 minit permainan.

Kini dengan hampir dua bulan persiapan, Kemboja bakal ditandingi pastinya mahu mencipta kejutan.

Bagaimanapun, berdasarkan prestasi semasa anak buah Cheng Hoe, Malaysia masih berpotensi untuk menang.

SUMBER: Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.