Penjara tuntut bantuan Ebit Lew dipolitikkan

Ebit Lew menyampaikan bantuan tambahan hari ini

ALOR SETAR– Jabatan Penjara Malaysia (JPM) berharap bantuan daripada Ustaz Ebit Lew tidak dipolitikkan mana-mana pihak.

Dalam satu kenyataan JPM, bantuan sedemikian ialah amalan dan kerjasama biasa dijalin di antara pihak jabatan bersama NGO atau individu persendirian yang tampil membantu bagi tujuan tersebut.

“Oleh demikian, pihak Jabatan berharap agar isu ini tidak dipolitikkan bagi tujuan yang boleh memudaratkan maksud asalnya.

“Pihak Jabatan Penjara Malaysia sentiasa mengalu-alukan kerjasama sebegini bagi meringankan beban kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19 yang melanda institusi penjara,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JPM berkata, bantuan dihulurkan UEL amatlah dihargai.

“Jabatan Penjara mengucapkan setinggi penghargaan kepada Ustaz Ebit Liew @ebitlewofficialpage yang tampil membantu dan memberikan sumbangan kepada pihak Penjara atas semangat kesukarelaan.

“Pihak Jabatan sangat bersyukur dan bernasib baik kerana terdapat pelbagai pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun orang perseorangan yang tampil menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk untuk membantu penjara yang terkesan dengan permasalahan ini,”katanya.

JPM juga menegaskan, pihak pengurusan penjara sentiasa mengambil berat dan prihatin terhadap hal ehwal kebajikan warga jabatan yang berada di bawahnya.

Dalam pada itu, Penjara Alor Setar dan Pokok Sena menerima bantuan tambahan daripada Ebit Lew hari ini.

“Hari ini kita hantar keperluan mandi dan keperluan lain untuk 2000 orang. Sabun mandi, ubat gigi,sabun pinggan dan mee serta makanan, tilam dan bantal yang selesa.

“Semuanya barang keperluan asas saya beli di warehouse Elewsmart. Tilam dan bantal selesa saya beli di Fuzi Dream,”katanya yang mendoakan hati rakyat Malaysia disatukan dengan kasih sayang di Facebook.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.