Pemandu lori ditahan sebab bawa muatan..

Anggota polis menunjukkan sejumlah kotak minuman arak yang dirampas

PULAU INDAH– Sejumlah kotak minuman keras tidak bercukai dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di Plaza Tol Subang.

Komander PPM Wilayah 1, ACP Rosman Ismail berkata, serbuan pada 20 Januari lalu dibuat susulan maklumat diterima Unit Risikan Marin (URM) pada jam 12.45 tengah hari.

“Unit Risikan Marin (URM) yang sedang menjalankan tugas Op Landai telah menerima maklumat dari orang awam berkaitan sebuah lori bonded yang membawa barang tidak bercukai.

“Susulan itu, sepasukan URM telah bergerak dan membuat pintasan di laluan yang akan di lalui lori tersebut,”katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, URM telah mengekori dan berjaya menahan lori tersebut berhampiran Plaza Tol Subang.

“Semasa menahan dan memeriksa lori tersebut mendapati sejumlah kotak minuman keras yang dipercayai tidak bercukai dan tiada mempunyai pelekat hologram Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDRM)

“Selain itu, turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berumur 27 tahun yang merupakan pemandu lori tersebut,”katanya.

Rosman berkata, pemandu lori dan minuman keras telah di bawa balik ke Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan selanjutnya.

“Pemandu lori juga akan di tahan dibawah Akta Kastam 1957,”katanya.

Rentas7.com/ Foto: PPM

 

 

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.