Lantik Jamil Khir hanya pembaziran

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR– Pelantikan Pengerusi UMNO Kedah, Jamil Khir Baharom sebagai penasihat agama kepada Perdana Menteri memberi gambaran UMNO menyisihkan Menteri Agama sedia ada, Senator Idris Ahmad.

Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, secara tidak langsung ia membawa maksud UMNO membelakangi PAS sebagai rakan dalam kerajaan.

“Untuk apa Jamil Khir dilantik sedangkan Menteri Agama sudah ada? Pembaziran apa yang UMNO lakukan?

“Ini sudah terang lagi bersuluh menunjukkan UMNO parti gila kuasa yang menyisihkan Menteri Agama sedia ada serta tidak hormati rakan dalam kerajaan,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, pelantikan itu juga membazirkan wang rakyat.

“Sepatutnya wang untuk bayar gaji dan elaun penasihat yang tidak pun perlu dilantik boleh digunakan untuk manfaat rakyat.

“PAMM kesal budaya boros seperti ini masih menular dalam UMNO.

“Mereka tidak ambil pengajaran selepas ditolak rakyat secara ‘berjemaah’ pada PRU-14,”katanya.

Beliau berkata, UMNO perlu menjelaskan tindakan pembaziran itu kepada rakyat.

Media semalam melaporkan Jamil dilantik sebagai penasihat agama.

Jamil dilaporkan mengesahkan pelantikan itu kepada FMT.

Pemimpin UMNO Kedah termasuk  Ketua Bahagian UMNO Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohd Yusoff turut mengucapkan tahniah di media sosial.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.