Pati “tawan” kebun durian musang king ditahan

Warga asing yang berjaya ditahan JIM menerusi Ops Durian

KUALA LUMPUR– Seramai 110 pendatang asing tanpa izin (Pati) atas pelbagai kesalahan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam empat siri operasi bermula 13 Ogos hingga hari ini.

Ketua Pengarah JIM, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, kesemua warga asing itu ditahan menerusi “Op Durian” di tiga kilang memproses durian dan 11 kebun durian sekitar Raub, Pahang.

Menurutnya, 94 orang yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, lapan warga Myanmar dan masing-masing empat warga Bangladesh dan Pakistan.

“Kebanyakan mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan dan telah tinggal lebih masa dengan menggunakan pas lawatan sosial yang diberikan kepada pelancong masuk ke Malaysia,”katanya seperti dipetik daripada Bernama.

Beliau berkata, warga Indonesia paling ramai ditangkap dalam operasi itu kerana mereka mempunyai kemahiran tentang berkebun.

Ekoran operasi dijalankan katanya, JIM yakin masih ramai Pati melarikan diri namun pihaknya tidak akan menghentikan operasi.

Tambahnya, majikan yang mengajikan warga asing terbabit tidak akan terlepas daripada hukuman.

Mereka yang ditahan dibawa ke Depoh Kemayan, Teriang.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.