Pasukan Petugas Ekonomi Digital (DETF) komited jayakan transformasi digital

Khairy Jamaluddin

PUTRAJAYA– Mesyuarat kedua Pasukan Petugas Ekonomi Digital (DETF) telah diadakan bagi menyelaras pelaksanaan pelbagai inisiatif dan usaha-usaha berterusan dalam mempercepat transformasi digital serta memastikan
sasaran ekonomi digital Malaysia dapat dijayakan dengan kerjasama sektor awam dan swasta.

Pemerkasaan ekonomi digital merupakan antara agenda utama negara.

Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui DETF telah bekerjasama dalam menerajui usaha-usaha memulih dan merangsang sektor-sektor ekonomi negara yang terjejas akibat COVID-19 dan ia mampu dipercepatkan melalui pemacuan Ekonomi Digital.

Menteri MOSTI, Khairy Jamaluddin berkata, Mesyuarat DETF bilangan kedua yang dipengerusikan olehnya telah diadakan pada 1 Oktober 2020.

“Pandemik COVID-19 telah mencetuskan norma baharu dan menyaksikan rakyat dan industri beralih kepada teknologi digital dalam meneruskan aktiviti harian dan ekonomi.

“DETF memberi fokus kepada empat teras utama iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan; merangsang ekonomi dan pemboleh daya dengan 15 aliran kerja (workstream) bagi menjayakan agenda ekonomi digital dalam negara,”katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, mesyuarat kali ini telah memberi tumpuan kepada lima aliran kerja yang memerlukan intervensi termasuk isu, status pelaksanaan dan cadangan penambahbaikan aktiviti iaitu Platform Teknologi dan Infrastruktur Digital; Pendigitalan Perusahaan Kecil Sederhana (PKS); Ekonomi-Gig; Pembelajaran Digital.

“Melalui perancangan DETF, Kerajaan akan memperluas liputan rangkaian dan
meningkatkan kualiti perkhidmatan jalur lebar di seluruh Malaysia melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi melengkapkan infrastruktur digital negara.

“Lebih banyak menara baharu akan dibina, pemancar sedia ada akan dinaik taraf kepada 4G dan liputan talian tetap gentian optik diperluaskan antara hujung 2020 hingga 2022 nanti,”katanya.

Khairy berkata, JENDELA juga bakal mempersiapkan negara untuk beralih kepada teknologi 5G selari dengan misi untuk menyediakan infrastruktur digital yang berdaya tahan supaya dapat dimanfaatkan oleh pelbagai lapisan masyarakat serta perniagaan.

“Kerajaan juga berusaha mewujudkan generasi celik digital bermula di sekolah dan komited untuk melengkapkan sekolah dengan capaian internet bagi membolehkan pelaksanaan pembelajaran secara digital.

“Setakat ini, 10,066 sekolah telah
mempunyai capaian internet, manakala baki 141 sekolah kategori unserved (tiada capaian internet) akan dibekalkan capaian Very Small Aperture Terminal (VSAT) berkelajuan 30Mbps menjelang Disember 2020.

“Kerajaan juga prihatin dengan rakyat yang terlibat dalam ekonomi gig dan sedang menggandakan usaha untuk menarik lebih ramai pekerja gig untuk berdaftar dengan PENJANAGig (https://gig.perkeso.gov.my) sebagai jaminan keselamatan sosial dan
kebajikan pekerja selain menggalakkan pendigitalan PKS supaya kekal berdaya tahan dan berdaya saing,”katanya.

Menurutnya, bagi menyokong usaha pendigitalan Perusahaan Kecil dan
Sederhana (PKS), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) telah menganjurkan Sidang Kemuncak Digital PKS (SME Digital Summit) pada bulan lalu dan berjaya menarik lebih sejuta penyertaan PKS dalam talian dan kempen PENJANA Shop Malaysia Online yang memanfaatkan rakyat dan perniagaan. DETF juga menyarankan supaya keutamaan diberikan kepada penggunaan teknologi keluaran syarikat tempatan oleh Kerajaan dan industri dalam usaha pendigitalan negara.

“KKMM dan MOSTI melalui DETF akan bersama-sama menerajui usaha-usaha
memacu ekonomi digital sebagai agenda nasional dalam mewujudkan banyak
peluang dan faedah kepada industri, PKS dan masyarakat umumnya,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.