KUALA LUMPUR– Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mencapai kata sepakat melantik Ketua Menteri Sabah ke-16.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau amat menghargai semangat setiakawan yang ditunjukkan oleh parti-parti dalam gabungan ini demi kepentingan dan masa depan rakyat Sabah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) yang bersetuju mencalonkan Datuk Seri Panglima Hajiji Mohd Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.
“Persepakatan ini membuktikan kerjasama erat parti-parti di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sepanjang Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini mendapat sokongan rakyat negeri ini,”katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN berkata, beliau berdoa semoga Sabah terus kekal menjadi sebuah negeri yang aman dan makmur.
Terdahulu, GRS yang berjaya membentuk kerajaan melalui kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
Hari ini GRS mencapai kata sepakat dengan menamakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru.
Hajiji akan mengangkat sumpah di Istana Negeri pada jam 10.30 pagi esok.
Rentas7.com
Leave a Reply