Minuman keras RM354 ribu dalam kontena dirampas

Kesemua arak tidak bercukai itu dirampas PPM

BINTULU-Minuman keras bernilai RM354,000 tidak bercukai dirampas Anggota Unit Risik Marin (URM) Pasukan Polis Marin (PPM) semalam.

Komander PPM Wilayah 5 Sarawak, Asisten Komisioner Polis, Zulfikar Mohd Ghazali berkata, minuman keras itu dirampas dalam sebuah kontena di jalan Bintulu-Miri.

Menurutnya, pemandu lori kontena gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen daripada Jabatan Kastam Diraja (JKDM) berkaitan pemilikan atau kebenaran membawa minuman keras tersebut.

“URM menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun kerana hasil pemeriksaan mendapati lori kontena itu sarat dengan muatan bir pelbagai jenama tidak bercukai.

“Anggaran nilai minuman keras ialah RM354 ribu dan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM619 ribu,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan lanjut oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Bintulu.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.