Mesyuarat Maufakat Nasional pertama Terengganu dilangsungkan

KUALA TERENGGANU– PAS dan UMNO berjaya melangsungkan mesyuarat kali pertama jawatankuasa Muafakat Nasional (MN) Terengganu, di sini, kelmarin.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Senator Datuk Husain Awang (gambar) berkata, perbincangan dalam mesyuarat itu diketuai kepimpinan kedua-dua parti.

“Ia diketuai Timbalan Pesuruhjaya (III) PAS Terengganu, Dr. Alias Razak dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Din Adam.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak UMNO Terengganu atas kesudian menjayakan mesyuarat Jawatankuasa MN peringkat Negeri Terengganu,”katanya hari ini.

Beliau berkata, beberapa keputusan telah dicapai dalam pertemuan tersebut antaranya ialah jawatankuasa MN di peringkat parlimen akan ditubuhkan secara bersama bermula hari ini sehingga 29 Februari 2020.

“PAS dan UMNO juga bersetuju untuk mengadakan program bersama di peringkat parlimen dan dimulakan di daerah Kemaman,”katanya.

Husain berkata, mesyuarat Jawatankuasa MN peringkat negeri akan diadakan paling kurang sekali dalam tempoh tiga bulan.

“Namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa jika ada keperluan di antara kedua-dua belah pihak.

“Selain itu, mesyuarat jawatankuasa MN peringkat negeri akan dipengerusikan bersama antara PAS dan UMNO mengikut giliran.

“Pengerusi mesyuarat juga akan digilirkan mengikut giliran masing-masing. Masa dan tempat akan ditentukan oleh pengerusi mesyuarat,”katanya.

Rentas7.com.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.