Masalah air penduduk diberikan perhatian

Muhammad Hassan kiri, Sabri kanan bertemu dengan pihak Sada hari ini

BALING– Masalah bekalan air di Kampung Tebing Tinggi, Kampung Tanjung Langsat dan Madrasah Darul Saadah, Sungai Limau mendapat perhatian Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) DUN Kupang.

Pegawai Khas PKWR DUN Kupang, Hassan Hassan Saad berkata, ketiga-tiga tempat berkenaan menghadapi masalah dari sumber air yang dibekalkan Syarikat Air Darul Aman (Sada) sejak sekian lama.

“Kami melakukan tinjauan di ketiga-tiga kawasan berkenaan dan mendapati penduduk dan warga sekolah berkenaan terjejas dari segi sumber air bersih.

“Perkara ini telah saya panjangkan kepada Sada bagi penyelesaian segera,” katanya hari ini.

Beliau berkata, di bawah kerajaan baru Perikatan Nasional (PN), masalah bekalan air diyakini dapat diselesaikan dengan baik.

Terdahulu, Hassan Saad dan Setiausaha PKWR DUN Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar mengadakan pertemuan dengan Eksekutif Teknikal Sada Wilayah Timur, Azahari Mat Rasul di Pejabat Sada daerah Baling.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.