Masa semua parti berkerjasama selamatkan negara

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Sudah tiba masanya semua parti politik bekerjasama demi rakyat dan mengetepikan agenda masing-masing.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, kerjasama itu boleh dicapai dengan menyokong pembentangan Belanjawan 2021 pada November depan.

“Yang di-Pertuan Agong (YDPA) Al-Sultan Abdulllah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga telah bertitah supaya semua Ahli Parlimen memberikan sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan hidup rakyat dan pemulihan ekonomi negara.

“Justeru itu, semua Ahli Parlimen wajib menjunjung titah Al-Sultan Abdulllah demi kebaikan rakyat dan negara yang kita cintai,”katanya hari ini.

Beliau berkata, kegagalan Ahli Parlimen berbuat demikian akan memberikan kesan buruk kepada negara.

“Jika Belanjawan Negara tidak lulus, negara akan berhadapan pelbagai masalah pada tahun depan terutamanya bagi tujuan membendung penularan wabak COVID-19.

“Ia akan mengheret negara ke dalam satu lagi konflik politik yang tidak berkesudahan sekaligus merugikan rakyat sendiri,”katanya.

Artikel berkaitan:

http://rentas7.com/ydpa-menitahkan-semua-ahli-parlimen-sokong-belanjawan-2021/

Mustaffa berkata, PAMM juga menuntut semua penyokong parti berhenti daripada persengketaan politik.

“Tidak kira parti mana pun, marilah sama-sama kita menjunjung titah YDPA. Kita ketepikan dahulu soal politik dan bekerjasama membantu kerajaan dan petugas barisan hadapan menghadapi COVID-19.

“Soal nyawa ini bukan hanya melibatkan kita, tapi ia juga soal anak cucu dan generasi akan datang,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.