Hina Nabi: Malaysia panggil pihak kedutaan Perancis

KUALA LUMPUR – Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Perancis di Kuala Lumpur dipanggil ke Wisma Putra semalam susulun penerbitan karikatur yang disamakan dengan Nabi Muhammad S.A.W.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar) berkata, tindakan itu dibuat bagi menyatakan kegusaran Malaysia terhadap peningkatan ketegangan, ucapan berunsur kebencian dan fitnah terhadap Islam.

“Semasa pertemuan tersebut, Kementerian Luar mengulangi pendirian Malaysia yang mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan retorik dan provokatif yang mencemarkan nama baik agama Islam.

“Ia sebagaimana yang telah disaksikan oleh dunia baru-baru ini dalam bentuk penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan seorang guru , Samuel Paty di Perancis menunjukkan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad S.A.W ketika kelas kebebasan bersuara.

Guru itu kemudian dipenggal kepala di luar kawasan sekolah dalam kejadian di pinggiran Kota Conflans-Sainte-Honorine pada 16 Oktober lalu.

Susulan kejadian itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron menuduh Islam sebagai agama krisis dan orang Islam sebagai pengganut fahaman pemisah dalam satu kenyataan pada Rabu lalu

Kenyataan liar Macron kini sedang mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia yang kini melakukan kempen boikot produk Perancis termasuk himpunan tunjuk perasaan besar-besaran.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.