Malaysia- New Zealand jalin kerjasama pelancongan dan ekonomi

Muhyiddin berbual dengan Adern melalui panggilan talefon siang tadi

KUALA LUMPUR– Malaysia dan New Zealand akan meneroka kerjasama baru yang akan khususnya dalam ekonomi dan pelancongan.

Perkara itu menjadi topik perbincangan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya dari New Zealand Jacinda Ardern siang tadi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada Ardern dan parti pimpinannya iaitu, Parti Buruh atas kejayaan memenangi pilihan raya umum negara itu pada 17 Oktober lepas.

Selain usaha merapatkan hubungan dua hala sedia ada, kami juga membincangkan mengenai langkah-langkah perlu dalam meneroka kerjasama baharu pelbagai bidang yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara, khususnya ekonomi dan pelancongan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhyiddin sebelum itu menerima panggilan talefon daripada Ardern.

Muhyiddin berkata, beliau bagi pihak Malaysia juga merakamkan penghargaan kepada New Zealand yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Malaysia, sehingga membawa kepada terbentuknya Visi APEC Pasca-2020.

“Malaysia yakin, dokumen strategik jangka panjang itu akan memandu APEC ke arah menjadi wilayah yang lebih terbuka, dinamik, berdaya tahan dan makmur pada tahun-tahun mendatang,”katanya.

Menurutnya, beliau berkongsi perjalanan mencabar Malaysia selaku penganjur APEC 2020 dalam keadaan penularan pandemik COVID-19.

“Saya ucapkan terima kasih kepada New Zealand atas sokongan dalam mencari penyelesaian kepada isu-isu yang hangat diperdebatkan seperti Sistem Perdagangan Multilateral, Kawasan Perdagangan Bebas Asia-Pasifik (FTAAP) dan Integrasi Ekonomi Serantau (REI).

“Saya berharap New Zealand akan memberi sokongan dalam usaha mencapai kata sepakat berhubung Deklarasi Kuala Lumpur pada penghujung Sidang Kemuncak APEC malam ini,”katanya.

Beliau berkata, deklarasi ini penting bagi menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang sedang melanda rantau ini.

“Saya juga berharap Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang baru ditandatangani oleh 15 ekonomi pada Ahad lalu, akan mempermudahkan serta memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan antara negara anggota termasuk New Zealand,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.