Malaysia kecewakan Indonesia dalam perlawanan sengit

Malaysia menduduki tangga teratas Kumpulan B setelah menewaskan Indonesia malam ini

KUALA LUMPUR– Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara mencipta kemenangan manis apabila menundukkan ‘seteru’ utama bola sepak Indonesia 2-1 dalam aksi sengit Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand sebentar tadi.

Indonesia yang hadir dengan misi memburu kejuaraan selesa dengan gol awal pada minit ke-29 hasil jaringan Ramadhan Sananta.

Hasil hantaran panjang rakan sepasukan, pemain kelab Persis Solo itu bijak memperdayakan pertahan negara, Saiful Jamaluddin sebelum merembat kencang untuk gol pendahuluan buat Indonesia.

Kegembiraan Indonesia bagaimapun tidak bertahan lama apabila Malaysia menyamakan kedudukan menerusi jaringan sepakan penalti Fergus Tierney pada minit ke 54 sebelum sekali lagi mencetak gol pada minit ke-62.

Pemain itu bijak menyambar bola daripada kesilapan pertahanan lawan mengeluarkan bola sebelum menolak masuk untuk gol kemenangan skuad negara.

Malaysia akan menutup aksi Kumpulan B menentang Timor Leste pada 22 Ogos ini.

RENTAS7 / FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.