Malaysia benam Kemboja 3-1

Malaysia beraksi cemerlang pada aksi pertama Kumpulan B
KUALA LUMPUR– Malaysia melaungkan amaran kepada semua pasukan bahawa kehadiran mereka dalam kempen Piala AFF Suzuki 2020 kali ini bukan sekadar melengkapkan pasukan apabila membelasah kemboja 3-1 di Stadium Bishan Singapura sebentar tadi.
Walaupun hadir dengan pasukan yang serba pincang, skuad kendalian Tan Cheng Hoe membuka tirai jaringan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid pada minit ke 23 selepas Akhyar Rashid dijatuhkan pertahanan lawan dalam kotak penalti.
Akhyar Rashid muncul penjaring kedua apabila rembatannya pada minit ke 61 menewaskan penjaga gol lawan.
Pemain sayap JDT itu membuktikan prestasinya masih di tahap terbaik walaupun jarang diturunkan ketika bersama kelab menerusi asakan dan percubaan-percubaan berbahaya ke arah pintu gol Kemboja.
Malaysia turut mempunyai peluang menambah gol melalui beberapa rembatan padu Guilherme de Paula, namun nasib tidak menyebelahi pemain itu.
Memasuki pertengahan babak akhir permainan, Cheng Hoe melakukan perubahan taktikal dengan melakukan beberapa pertukaran pemain,
R Kogileswaran yang dibawa masuk tidak menunggu lama untuk mencetak nama sebagai penjaring apabila mudah menolak masuk hantaran Luqman Hakim Syamsudin minit ke- 78.
 
Kemboja mendapat gol sagu hati dengan jaringan sepakan penalti Sath Rosib pada minit ke-90 yang menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
 
Sepakan penalti dihadiahkan kepada lawan selepas Khairul Fahmi dikesan pengadil melakukan kesilapan yang menyalahi peraturan dalam kotak penalti.
Skuad Harimau Malaya hadir ke Piala AFF Suzuki 2020 dengan latihan yang singkat selain tampil hanya dengan 24 pemain berbanding 30 pemain yang dibenarkan Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF).
Menambah derita skuad kebangsaan apabila pemain sayap lincah, Faisal Halim dan penjaga gol Khairuilazhan Khalid terpaksa direhatkan 10 hari selepas disahkan positif COVID-19 oleh pihak berkuasa Singapura sehari sebelum perlawanan.
RENTAS7
rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.