NABAWAN– Seramai 15 ribu pesawah dari Nabawan, Keningau, Tenom dan Tambunan menerima Bantuan Baja dan Racun di bawah Skim Baja Padi Persekutuan (SBPKP) dan Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) serta Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1 Tahun 2024 berjumlah RM13 juta.
Khusus bagi Negeri Sabah, pada tahun ini KPKM menerusi Lembaga Pertubuhan Peladang menyalurkan bantuan dan insentif kepada pesawah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM54.4 juta.
Daripada jumlah tersebut RM18.6 juta merupakan Bantuan Khas Sumbangan Tunai Fasa 1 Tahun 2024 yang memberi manfaat kepada seramai 31,028 orang pesawah dan juga Bantuan Khas BERNAS berjumlah RM7.3 juta yang memanfaatkan seramai 29,473 orang penerima.
Majlis penyerahan bantuan serta insentif tersebut telah disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Arthur Joseph Kurup bertempat di Pertubuhan Peladang Kawasan Nabawan.
Jelas Arthur, selain daripada insentif dan bantuan kerajaan pada tanaman padi, KPKM juga menyalurkan peruntukan di bawah Peruntukan Pembangunan Rolling Plan Ke-4 (2024) Lembaga Pertubuhan Peladang geran pembangunan berjumlah RM4.1 juta untuk Negeri Sabah.
Geran Pembangunan ini digunakan bagi membiyai pelbagai projek-projek Pembangunan Pertubuhan Peladang serta Usahawan Peladang bagi meningkatkan pengeluaran Agro Makanan di Negeri Sabah.
Menyentuh berkenaan Belanjawan 2025, Arthur berkata peningkatan peruntukan sebanyak 4.1 peratus secara tidak langsung mencerminkan tekad kerajaan membantu meningkatkan produktiviti sektor agro makanan yang akan mensejahterakan rakyat.
Sehubungan itu, KPKM akan meneruskan pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk pesawah bagi tahun 2025. Ini termasuk meningkatkan subsidi padi dan insentif pesawah dari RM2.46 bilion pada tahun 2024 kepada RM2.60 bilion pada tahun 2025 dengan peningkatan sebanyak 5.5 peratus.
Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar para pesawah di negeri Sabah khususnya yang berdaftar dengan Pertubuhan Peladang Kawasan untuk menyertai Skim Tanaman Takaful Padi (STTP) yang menawarkan perlindungan takaful dengan jumlah maksimum sebanyak RM3,000 setiap hektar semusim bagi kerosakan tanaman padi yangdiakibatkan oleh bencana.
Usaha ini merupakan inisiatif hasil kerjasama KPKM bersama-sama Agrobank bagi menangani risiko yang dihadapi oleh petani yang terdedah kepada ancaman bencana termasuk ancaman penyakit dan makhluk perosak dengan kadar pampasan yang lebih baik.
RENTAS7








Leave a Reply