KPM arah sekolah sekat komik propaganda

KUALA LUMPUR– Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengarahkan semua sekolah yang telah menerima komik “Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama” menyekat pengedarannya.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, semua sekolah di bawah KPM yang telah menerima komik tersebut telah diarahkan untuk tidak disebarluaskan.

Menurutnya, beliau sekali lagi menegaskan bahawa KPM tidak pernah meluluskan komik berkenaan apatah lagi membenarkan pengedarannya.

“KPM tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mempergunakan sekolah sebagai alat propaganda murahan.

“Saya juga telah mengarahkan KPM untuk menyiasat segera jika terdapat mana-mana individu termasuk anggota dalaman yang bertanggungjawab membenarkan komik ini diedarkan di sekolah,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, KPM akan memastikan siapa sahaja jika terbukti benar dakwaan ini akan diberi tindakan tegas.

Maszlee turut mengajak mana-mana ahli DAP yang tidak berpuas hati supaya kembali mematuhi semangat “rule of law” dan juga “collective responsibility”.

“Saya juga ingin menggesa pimpinan DAP untuk mendisiplinkan ahli-ahli mereka agar menghormati keputusan kerajaan dan patuh terhadap perlembagaan dan undang-undang negara. Kedua perkara inilah yang membina negara kita.

“Tindakan merendah-rendahkan parti komponen lain seperti yang dilakukan oleh Saudara Ronnie Liu ialah tindakan yang biadab dan sangat tidak berasas,”katanya.

Belia berkata, budaya politik murahan sebegitu hanya akan merosakkan keadaan.

“Ia membawa lebih banyak perpecahan malah membantutkan agenda reformasi yang sedang kita laksanakan,”katanya.

Komik berkenaan diterbitkan pada April 2019 oleh Muzium Kubadayaan Komik Asia di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hasil kerjasama kurator Dr Hew Kuan Yau dan artis komik tempatan, Ching Po Ling.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.