Kewibawaan Paimuzi Yahya martabatkan Islam ditagih

KUALA LUMPUR-Kewibawaan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru diharap dapat mengangkat syiar agama, ummah serta negara yang lebih baik.

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat ( DUPP), Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, Datuk Paimuzi Yahya (gambar) mempunyai pengalaman luas berkhidmat selama 34 tahun dalam perkhidmatan awam

Menurutnya, Paimuzi pernah menerajui JAKIM Sabah, ILIM, Darul Quran JAKIM, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

“DUPP mengucapkan tahniah kepada Datuk Paimuzi Yahya atas perlantikan sebagai Ketua Pengarah JAKIM yang baru.

“DUPP mendoakan agar beliau diberikan kekuatan dalam melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang besar ini bagi memastikan kemajuan dan kecemerlangan JAKIM bagi mengangkat syiar agama dan ummah serta negara yang lebih baik,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Puteh berkata, perlantikan beliau sebagai Ketua Pengarah JAKIM adalah menepati kriteria dan bersesuaian pada masanya.

“Dalam situasi politik yang semakin mencabar dengan pelbagai isu yang menyentuh soal sensitivi agama serta kedudukan institusi keagamaan ini.

“Diharapkan beliau tabah dan cekal dalam memperanankan fungsi JAKIM sebagai salah satu entiti penting dalam skop tugasan yang melibatkan hal ehwal keagamaan,”katanya.

Paimuzi,59, yang sebelum ini bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM iaitu Pegawai Hal Ehwal Islam yang paling kanan dilantik menjawat jawatan baru pada 13 Januari lalu.

Beliau menggantikan jawatan dikosongkan Datuk Mohamad Nordin Ibrahim yang bersara wajib pada 27 Disember 2019.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.