Bot karam, seorang masih hilang

Empat daripada lima mangsa berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke Pulau Perhentian

BESUT-Seorang lagi mangsa bot karam di kedudukan lebih kurang 4 batu nautika barat daya Pulau Perhentian, Besut, masih belum berjaya dikesan.

Mangsa, Assari Leh berusia 46 tahun.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, dalam kejadian jam 1.30 petang itu, empat dari lima mangsa telah menyelamatkan diri dengan berenang ke Pulau Perhentian dan seorang lagi masih hilang.

Menurutnya, kesemua mangsa memakai jaket keselamatan.

Susulan kejadian, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Operasi SAR telah pun diaktifkan untuk melakukan pencarian di dalam radius 5 batu nautika dari lokasi insiden bot karam dan melibatkan aset-aset strategik milik APMM dan agensi kerajaan yang lain.

“Keadaan laut adalah agak mencabar dengan ketinggian ombak 4.5 hingga 5.5 meter dengan kelajuan angin 60 ke 70 kilometer sejam,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat mangsa yang berjaya tiba di pantai Pulau Perhentian pada petang semalam telah diberi bantuan oleh penduduk.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke klinik kesihatan dan seorang mangsa telah diberi bantuan pernafasan kerana dilaporkan mengalami lelah menerima rawatan lanjut di hospital.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.