Kenapa tak manfaat laluan Kedah- Kelantan?

 

Liputan Sidang DUN Kedah oleh Rentas7.com

ALOR SETAR- Laluan lebuh raya Grik-Baling- Kulim hingga ke sempadan Pulau Pinang mempunyai potensi melonjakkan ekonomi daerah Baling, tetapi sayang ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kupang, Brigadier (B) Najmi Ahmad (gambar) berkata, laluan sepanjang kira-kira 70 kilometer yang menghubungkan negeri-negeri utara ke Pantai Timur itu menjadi pilihan utama pengguna kenderaan bersendirian dan awam.

Menurutnya, pada tahun ini separuh daripada lebih sejuta kenderaan dikesan melalui jalan tersebut pada musim perayaan Aidifitri.

Tetapi katanya, kekurangan kemudahan di sepanjang laluan itu antara faktor penyebab pengguna tidak berminat singgah dan berbelanja di Baling.

“Namun demikian kemudahan-kemudahan di sepanjang rentasan itu setakat ini maklumat yang kita perolehi ialah dua stesen minyak BHP serta satu sedang dibina, satu stesen minyak Caltex satu hentian Rehat dan Rawat (RNR) dan beberapa bengkel kereta.

“Manakala daripada Kampung Kemangi ke simpang tiga jerai mempunyai 38 buah gerai makanan dan 20 buah (gerai makan) dari Simpang Landak ke Padang Meha,”katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ke-14, hari ini.

Isu berkenaan dibangkitkan Najmi pada Sidang DUN hari ini

Beliau berkata,  pengusaha makanan di laluan itu bagaimanapun terdiri daripada ramai warga Thailand.

“Di situ pun berapa banyak aliran tunai Ringgit Malaysia mengalir keluar. Dan juga terdapat Keledang Mall yang kelihatan tidak bertenaga dan tidak ada tarikan.

“Boleh dikatakan indah nama tetapi peranannya tidak begitu menonjol,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu bersedia membangunkan laluan tersebut supaya singgah.

“Setakat la ni tidak terpikat langsung, Cuma singgah (pengguna kenderaan) ke tandas saja.

“Selain itu kerajaan negeri juga tidak mengambil faedah di sepanjang laluan Durian Burung bersempadan Thailand ke Baling dengan tidak merancang ekonomi di sepanjang laluan tersebut.

“Sedangkan di laluan tersebut terdapat tanah-tanah terbiar yang dipenuhi belukar dan tidak diusahakan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.