Kelayakan AFC 2020, Malaysia pintas Thailand

PHNOM PENH– Malaysia memintas Thailand untuk berada di tangga teratas Kumpulan G kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2020 selepas musuh tradisi itu tewas mengejut kepada Kemboja di Stadium Olimpik Nasional Phnom Penh, malam ini.

Thailand yang sebelum ini gah membelasah Brunei 9-0 dan Kepulauan Mariana Utara 21-0 layu di tangan Kemboja apabila tewas 2-1 kepada tuan rumah.

Keputusan itu memberikan kelebihan untuk Malaysia B-19 yang akan menentang Thailand pada Ahad.

Bertemu skuad Gajah Putih, Malaysia yang telah mengutip sembilan mata hanya perlu seri untuk muncul juara Kumpulan G.

Thailand dan Kemboja kini berkongsi enam mata, kedua-dua pasukan itu perlu mengelak tewas dalam perlawanan terakhir bagi menghalang Malaysia layak secara automatik.

Andai skuad negara tewas Ahad ini, Peluang Kemboja untuk muncul juara kumpulan bagaimanapun sudah tertutup sekalipun mencatat kemenangan besar ke atas Brunei.

Ia ekoran tuan rumah telah ditewaskan Malaysia pada aksi pertama.

Hanya juara daripada 11 kumpulan termasuk empat naib juara terbaik akan layak ke pusingan akhir AFC 2020 di Uzbekistan.

Terdahulu, Malaysia yang cemerlang dengan dua perlawanan meneruskan rentak kemenangan.

Tanpa skuad utama, Malaysia B-19 tiada masalah melakar kemenangan besar 10-0 ke atas Kepulauan Mariana Utara, petang tadi.

Dalam dua aksi terdahulu, Malaysia mengatasi Kemboja 5-4 dan membelasah Brunei 11-0.

Rentas7.com/ Foto FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.