Harimau Malaya dapat bek tengah baru

Ahmad Khuzaimi Piee

KUALA LUMPUR-Skuad kebangsaan bakal mendapat sentuhan baru di bahagian pertahanan tengah selepas Ahmad Khuzaimi Piee dipanggil bagi menghadapi siri perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Singapura dan Filipina dan sebuah kelab Singapura bulan ini.

Ketua Jurulatih Kebangsaan Kim Pan-gon berkata, pemain Negeri Sembilan FC itu dipanggil bagi menggantikan Syahmi Safari dari JDT yang tidak dapat bersama pasukan bagi menguruskan kelahiran bayi kembar tiganya.

“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan.

“Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri,”katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengurusan pasukan kebangsaan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Syahmi seisi keluarga atas kelahiran bayinya.

Malaysia akan bertemu Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac sebelum menutup tirai menentang Albirex Niigata FC pada 28 Mac, kesemua perlawanan berlangsung di Singapura.

Ia sebagai persediaan menghadapi kelayakan Piala Asia pada Jun depan.

 

RENTAS7/ FOTO: FAM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.