Jangan usik artifak Gunung Pulai!

Wan Shamsudin

BALING-Orang ramai dinasihati tidak mengambil bahan artifak terdapat di Gunung Pulai supaya tidak menganggu urusan dan kajian lanjut bagi mengenal pasti lokasi, sejarah dan kewujudan dengan tepat dan benar.

Amaran keras itu disuarakan Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof susulan penemuan lebih 100 artifak prasejarah zaman Paleolitik dianggarkan berusia 17,000 tahun oleh Jabatan Warisan (JWN) di kawasan tersebut.

Beliau berkata, setiap artifak yang ditemui dalam beberapa buah gua di Gunung Pulai amat berharga dan menjadi kerugian sekiranya ia hilang atau terjejas.

Menurutnya, sebarang penemuan perlu dimaklumkan kepada pihak berautoriti terutamanya JWN.

“Orang awam dinasihati jangan mengusik atau membawa balik bahan-bahan artifak yang ada.

“Janganlah simpan dan bawa balik (artifak). Jika jumpa maklumkan kepada pihak berautoriti supaya kajian lanjut dapat dilakukan,”katanya.

Antara artifak ditemui JWN di Gunung Pulai

Berhubung Gunung Pulai yang dikatakan mungkin penempatan tertua di Kedah, Wan Shamsudin berkata, kelompok manusia prasejarah akan berpindah dari satu tempat ke satu tempat.

Katanya, sesuatu lokasi akan dipilih sekiranya ia sesuai dijadikan penempatan.

Katanya, sejarah juga membuktikan orang Melayu terdahulu pakar dalam membuat tembikar dan ia diwarisi daripada nenek moyang mereka.

“Dulu orang Melayu kita pandai membuat periuk dan belanga dari tanah liat.

“Di Alor Merah, Alor Setar terdapat tanah liat yang amat sesuai digunakan dalam pembuatan periuk dan belanga,”katanya.

Dalam pada itu, Wan Shamsudin berkata, kerajaan dituntut membawa pulang setiap bahan bersejarah milik Kedah yang kini berada di luar negara.

“Segala benda yang ada di luar negara dan tidak dibawa pulang diambil semula. Saya berharap kerajaan dapat bertindak segera,”katanya.

Pada 21 Januari lalu, JWN mengumumkan menemui lebih 100 artifak prasejarah di Gua Tembus, Gua Akar dan Gua Kelambu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.