Indonesia terdesak, guna jurulatih baru berdepan Harimau Malaya

KUALA LUMPUR- Indonesia sah menggunakan jurulatih baru bagi menghadapi Malaysia pada saingan kelayakan Piala Dunia 2022/Asia Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Media Indonesia melaporkan, Simon McMenemy digantikan dengan jurulatih baru, Yeyen Tumena (gambar) walaupun anak kelahiran Scotland itu turut bersama pasukan Indonesia di Kuala Lumpur.

Yeyen Tumena berusia 43 dan berasal Sumatera Barat dilaporkan akan dibantu dua penolong iaitu Joko Susilo dan Alan Haviludin.

Perkembangan di kem lawan menunjukkan Indonesia amat terdesak mencari kemenangan pertama dalam kempen kelayakan ini.

Pengurus pasukan Indonesia, Sumardji berkata, McMenemy tiba di Kuala Lumpur pada 13 November lalu bagi membantu Indonesia menghadapi Malaysia.

“Keberadaannya di negeri jiran (Malaysia) bukan untuk melatih, melainkan membantu supervisi (pegawasan),” katanya yang dipetik daripada Liputan6.

McMenemy tidak akan bimbing Garuda di Kuala Lumpur

Sebagai persiapan bertemu Harimau Malaya, skuad Garuda itu telah mengadakan perlawanan persahabatan menentang PKNS B-21 semalam.

Dalam perlawanan itu, Indonesia menang 3-0 hasil jaringan David Maulana minit ke-25 dan Lerby Eliandry minit 80 dan 85.

Indonesia yang telah mengharungi empat perlawanan gagal mengutip sebarang mata.

Kekalahan terbesar Indonesia setakat ini ialah kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila tewas 5-0.

Rentas7/ Foto Liputan6

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.