Hisap vape, Hishammuddin didenda KKM

Video yang menunjukkan Hishamuddin sedang menghisap vape dalam Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR– Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak akan berlepas diri daripada membayar denda selepas ‘kantoi’ menghisap vape dalam Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sembrong itu berkata, beliau mengaku bersalah dan telah didenda oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sekali lagi saya mohon maaf kepada Dewan yang mulia serta seluruh rakyat Malaysia.

“Saya janji tidak akan ulangi kesalahan ini. Saya juga tetap berpendirian bahawa tiada sesiapa boleh mengatasi undang-undang. Kementerian Kesihatan Malaysia telah mengenakan denda, saya akan bayar,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang menegur kesilapannya.

Siang tadi tular video klip berdurasi sembilan saat di Twitter dan Facebook menunjukkan Hishammuddin sedang menghisap vape sambil memakai pelitup muka.

Video yang dikongsi di Twitter, Mhd Shamin itu telah ditonton 4,000 kali.

Sebelum itu, Hishammuddin turut memohon maaf di atas sikapnya itu dengan membalas hantaran Twitter Mhd Shamin.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.