Bukit Selambau sebagai zon operasi kilang plastik

Dr. Robert

ALOR SETAR–  Sebuah kawasan di Bukit Selambau akan dicadangkan sebagai zon industri berat khusus bagi operasi kilang plastik kitar semula.

Exco Perumahan dan Alam Sekitar. Dr. Robert Ling Kui Ee berkata, sekiranya dipersetujui, kilang yang mempunyai lesen pada masa kini boleh memindahkan aktiviti mereka ke kawasan berkenaan.

Namun katanya, kilang terbabit perlu mematuhi syarat-syarat ketat seperti pematuhan 18 syarat dari KPKT, pihak berkuasa tempatan dan lain lain termasuk dari Jabatan Alam Sekitar.

“Ini dicapai dalam taklimat dan perbincangan pagi tadi saya bersama YB Datuk Dr. Hayati (Exco Kerajaan Tempatan), YB ADUN Pantai Merdeka, YB ADUN Tanjung Dawai dan YDP MPSPK (Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah).

“Kami setuju mencadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk menyediakan satu tapak di Bukit Selambau sejajar dengan pengezonan bagi industri berat untuk operasi kilang plastik kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lima buah kilang mempunyai lesen operasi daripada pihak berkuasa tempatan pada tahun 2019, manakala tahun ini jumlahnya berkurangan kepada empat sahaja.

“Jumlah kilang yang sudah ditutup pula berjumlah tujuh buah. Manakala sejumlah 14 buah kilang tidak mempunyai lesen daripada pihak bekuasa tempatan,” katanya.

“Dalam perbincangan juga, dipersetujui untuk cadangan disemak semula undang undang berkaitan di peringkat negeri bagi mengawal sebaik mungkin aktiviti kilang berkaitan plastik kitar semula di Kedah,” katanya.

Dr. Robert berkata, beliau dan semua pihak akan terus memberi komitmen tinggi bagi menangani permasalahan ini sebaik mungkin.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.