Dua mangsa bot karam belum ditemui

Kawasan bot karam (dalam petak)

SANDAKAN– Dua daripada empat mangsa bot pukat nelayan tempatan yang karam dalam kejadian awal pagi semalam di perairan Kuala Meruap di sini masih belum ditemui.

Mangsa iaitu tekong Andi Manso, 40, dan seorang kru Sindora, 42, warga Indonesia masih belum ditemui.

Dua lagi mangsa Adrian @ Agus Bahtiar, 45, warga Indonesia dan Oyong @ Herman ,35, warga Filipina berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan pada jam 6.30 pagi hari ini.

Pengarah Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, operasi Cari Alamat diaktifkan Maritime Rescue Sub Center (MRSC) pada jam 7.30 petang semalam selepas menerima maklumat.

“Bot tersebut dikatakan terbalik dan karam akibat dipukul ombak besar ketika sedang melakukan aktiviti perikanan sekitar jam 4.00 pagi, 15 Januari,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi yang masuk hari kedua dipecahkan kepada enam sektor melibatkan keluasan 175 batu nautika persegi.

Selain Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), operasi turut disertai Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TUDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.