Diugut kerana dedah LTTE, gerakan Kristian turut dibongkar

KUALA LUMPUR-Pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung mendedahkan pernah diugut berhubung tindakannya membongkar pergerakan kumpulan pengganas LTTE di Malaysia.

Dalam satu kenyataan di Facebooknya malam ini, beliau berkata, pendedahan itu menyebabkan beliau dan beberapa individu lain turut difitnah dan ditohmah.

“Selama beberapa tahun kami mendedahkan pergerakan LTTE di Malaysia, ramai yang mengatakan kami memfitnah dan sengaja menimbulkan polemik.

“Tidak kurang ramai yang mengatakan kami gila publisiti. Bertahun-tahun kami bersabar kerana yakin akan kebenaran yang kami dedahkan demi keselamatan negara,”katanya.

Beliau berkata, penangkapan dibuat pihak polis berkaitan LTTE tahun ini akhirnya membuktikan segala-galanya.

“Tahun ini pihak Polis Diraja Malaysia ( Royal Malaysia Police ) membuat tangkapan berkaitan LTTE. Alhamdulilah,”katanya.

Berkongsi lanjut, Firdaus berkata, kumpulannya juga bertangungjawab membuat pendedahan pengkristianisasi di Malaysia.

“Sejak suku ketiga 2018, kami membuat pendedahan pengkristianisasi menerusi program keamanan dan kepimpinan di institusi pengajian dan kemudian kami mendedahkan nama pertubuhan di sebaliknya iaitu Unification Church (UC). Sekali lagi kami ditohmah dan dituduh memfitnah.

“Alhamdulilah. Kementerian Pendidikan Malaysia mengambil tindakan. NGO yang memiliki hubungan dengan UC dihalang melakukan sebarang program lagi di universiti.

“Kini, kami mula mendedahkan satu lagi pergerakan Kristian yang bersembunyi di sebalik program keamanan dan sekali lagi, dilakukan di institusi pengajian. Sekali lagi kami dituduh kononnya kami memfitnah, tidak menjaga nama baik dan sebagainya,”katanya.

Beliau yakin dan percaya masa sekali lagi akan menentukan kebenaran berhubung pendedahan gerakan tersebut.

“Jikalau kumpulan pengganas LTTE kami dedahkan walaupun pelbagai ancaman terhadap harta, keluarga dan juga nyawa kami, takan gerakan Kristian seperti ini kami tidak mahu dedahkan? Doakan,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.