Diancam bunuh, guru Patani tetap setia mendidik

Tentera berkawal di pekarangan kawasan sebuah sekolah

PATANI-Setiap guru di selatan Thailand bukan sahaja bekorban masa dan tenaga untuk mendidik pelajar, malah golongan itu sebenarnya terpaksa berdepan dengan risiko kematian semata-mata mencurahkan ilmu.

Di tiga wilayah bergolak, seseorang guru yang mahu meneruskan kerjaya dalam bidang itu perlu menerima hakikat bahawa mereka mungkin menjadi mangsa korban setiap kali pergi atau pulang dari sekolah.

Malah ketika sedang mengajar sekalipun, nyawa seseorang guru masih belum terjamin selamat daripada menjadi sasaran pihak tertentu.

Selain menyelak helaian buku untuk memulakan pembelajaran dalam kelas dan menanda kertas peperiksaan murid, tugas setiap guru di sana adalah memastikan diri mereka sendiri tidak menjadi mangsa konflik berdarah.

Situasi itu realiti sebenar kehidupan guru di Patani, Yala dan Narathiwat.

Perbalahan di antara pihak kerajaan dengan kumpulan yang membawa suara rakyat menyebabkan setiap nyawa tidak berdosa terpaksa diheret bersama-sama dalam kancah menyakitkan itu.

Tugas mendidik murid di selatan Thai mempunyai risiko yang amat besar

Guru jadi sasaran

Pendidik yang berada dalam wilayah bergolak terutamanya guru kerajaan mula menjadi sasaran bunuh apabila konflik di selatan Thailand bermula lebih sedekad lalu.

Bekas guru kerajaan, Khamron Samoh, 62, berkata, kerjaya seorang guru adalah tugas yang berbahaya di selatan Thailand .

Menurutnya, kejadian guru sekolah maut dibunuh sejak beberapa tahun kebelakangan ini banyak terjadi dengan ia melibatkan guru Islam dan bukan Islam.

“Saya tidak ingat jumlah sebenar guru dibunuh, tetapi jumlahnya sangat banyak. Kebanyakan guru dibunuh ditembak di kepala dan bahagian jantung.

“Selalunya guru yang menjadi mangsa ketika pergi atau pulang dari sekolah, guru yang menunggang motosikal lebih mudah untuk menjadi saasaran,”katanya.

Tentera yang berkawal di sebuah kawasan pada waktu malam

Terima amaran sebelum dibunuh

Khamron Samoh berkata, guru yang menjadi sasaran ada yang menerima ugutan melalui kertas amaran yang dilekatkan di hadapan rumah.

“Pembunuhan guru juga tidak kira lelaki ataupun wanita, kedua-duanya dibunuh oleh pihak yang tidak diketahui siapa pelakunya,”katanya.

Katanya lagi, kejadian guru ditembak bukan sahaja berlaku di luar kawasan sekolah, namun ada kes yang melibatkan mereka dibunuh dalam kawasan sekolah.

Menurutnya, dalam insiden tahun lalu, seorang guru ditembak di kantin sekolah di hadapan murid.

“Guru dibunuh bukan sahaja melibatkan sekolah kerajaan, tetapi termasuk yang bekerja di sekolah swasta, bagaimanapun risiko keselamatan guru sekolah kerajaan lebih besar,”katanya.

Bagaimanakah nasib para pelajar ini sekiranya konflik masih berterusan?

Tambahnya lagi, kejadian yang masih berlarutan itu menyebabkan pihak kerajaan menyediakan elaun risiko kepada semua guru sama ada kerajaan atau swasta.

Menurutnya, elaun hanya dibayar kepada guru yang berkhidmat di kawasan berkonflik dan terancam dengan bahaya dengan jumlah bayaran adalah berjumlah 2500 baht (RM250).

“Elaun itu bukan sahaja di beri kepada guru di tiga wilayah selatan Thailand namun turut diberi kepada mereka yang berkhidmat di empat daerah lain iaitu Sabayoi, Thepa, Nathawee dan Chana,”katanya.

Beliau berkata, antara faktor guru dibunuh kerana ada pihak yang sengaja mahu menimbulkan suasana tidak selamat.

Sekolah dikawal tentera setiap Jumaat

Sementara itu,guru kerajaan, Muhammad Mana’, 33, berkata, krisis keamanan di sana menyebabkan sekolahnya dikawal oleh pihak tentera setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Mana’

Menurutnya, pihak tentera akan berkawal sepanjang 30 km dari kawasan yang berisiko diserang sehingga ke kawasan sekolah.

Ditanya adakah beliau takut berkecimpung dalam bidang itu, Mana’ berkata, perasaan takut itu diketepikan demi tanggungjawab terhadap kerja selain mahu mendidik anak bangsanya sehingga berjaya.

“Murid-murid dalam kawasan kampung kurang mendapat peluang lebih baik dalam bidang pendidikan berbanding luar bandar kerana sekolah banyak ditutup jika berlaku apa-apa keganasan,”katanya.

Akibat masalah itu katanya, ramai pelajar Islam kurang mendapat peluang untuk menyambung pelajaran universiti terkenal kerana pencapaian mereka dalam peperiksaan tidak memuaskan.

“Pelajar di sini juga ada yang tercicir, walaupun baru berumur 15 tahun mereka sudah menjadi penoreh getah.

“Walaupun keadaan di tempat saya macam Ini, tetapi saya tekad untuk didik anak bangsa jadi lebih berjaya suatu hari nanti,”katanya.

Rentas7.com

(Laporan asal pada 2016)

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.