Daun ketum RM 15,000 dirampas

KUALA PERLIS– Cubaan tiga lelaki menyeludup 500 kilogram daun ketum (gambar) bernilai RM 15,000 ke negara jiran dipatahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada jam 1.40 pagi hari ini.

Ia dirampas di perairan Kuala Perlis pada jarak lebih kurang 0.2 batu nautika daripada Kampung Tanah Baharu, Kuala Perlis.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Shafie Paing berkata, sejumlah bungkusan mengandungi daun ketum ditemui
dalam sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran.

Menurutnya, bot berkenaan dikesan bergerak dalam keadaan mencurigakan ke sempadan negara jiran sebelum ditahan APMM.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, mereka bertindak melarikan diri dengan menukar haluan ke daratan berhampiran, namun pihak Maritim berjaya memintas dan menahan bot tersebut.

“Ketika dihampiri, bot dinaiki tekong dan dua awak-awak bertindak melarikan terjun ke laut dengan berenang melarikan diri ke daratan kampung berhampiran,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, selain bungkusan daun ketum seberat 500 kilogram bernilai RM15,000, APMM turut merampas
bot fiber berserta enjin sangkut 30 kuasa kuda yang nilai keseluruhannya berjumlah RM 25,000.

“Semua hasil rampasan dan bot tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut,”katanya.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada 10 ribu ringgit atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya.

Rentas7.com/ Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.