Beras hilang tak boleh selesai, tiba-tiba nak tukar nama universiti, PAMM tuntut menteri fokus

Dato' Mustaffa Idrus

ALOR SETAR -Isu beras dan makanan yang sepatutnya diberikan perhatian oleh menteri, bukannya menukar nama universiti kata Pengerusi Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus.

Pemimpin NGO itu berkata, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu dituntut menjalankan tanggungjawab yang lebih besar kepada rakyat khususnya berkaitan kehilangan beras tempatan di pasaran.

“Masalah beras, masalah makanan dan masalah lain mereka tidak mahu selesaikan, tiba-tiba menteri nak ubah nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian.

“Ini apa halnya pula? Tolong fikir masalah beras, ke mana perginya beras? Masalah harga lantai belian padi yang menurun sehingga membebankan pesawah, masalah bekalan telur, masalah bekalan ayam dan hal-hal berkaitan makanan. Selesaikanlah isu itu dulu untuk melegakan tekanan rakyat,”katanya.

Mustafa berkata, beliau hairan bagaimana seorang menteri boleh terdetik mahu mengubah nama universiti sedangkan krisis beras putih tempatan yang berlarutan lama belum dapat diselesaikan.

“Universiti pertanian konon, untuk apa? Untuk tanam padi dalam universiti? Bukankah UPM itu masih mengekalkan konsepnya sebagai universiti pertanian? Tolong fokus kepada tugas anda,”katanya.

Mustafa berkata, selepas isu ini timbul, ada baiknya Mohamad Sabu memanfaatkan kemahiran dan kepakaran lepasan dan penuntut UPM dalam menyelesaikan isu makanan negara.

“Sudah alang-alang isu ini timbul, kumpulkan kemahiran lepasan atau penuntut UPM dalam satu konvensyen atau pertemuan langsung.

“Manfaatkanlah mereka dalam menyelesaikan isu beras yang tidak selesai-selesai termasuk menjana ekonomi dalam sektor penternakan dan berkaitan.

“Sebagai menteri perlu sentiasa berfikir jauh dan memanfaatkan tenaga dan kemahiran kita ada, bukan berfikir soal tidak penting,”katanya.

Sebelum ini Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan cadangan Mohamad Sabu untuk menukar nama UPM kepada Universiti Pertanian.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.