Jalan makin teruk terhakis, penduduk mohon perhatian..

Jalan kampung yang terhakis teruk akibat banjir terbaru

BALING– Bahu jalan sepanjang kira-kira 100 meter di Kampung Paya Pekan Lama runtuh akibat hakisan daripada banjir.

Difahamkan, ia merupakan laluan utama kepada ratusan pengguna melibatkan beberapa kampung lain seperti Kampung Sungai Limau dan lain-lain.

Penduduk, Mohd Nazri Hamid, 45, berkata, masalah banjir di kampung itu sudah berlaku bertahun-tahun lamanya.

Namun katanya, banjir yang berlaku dua kali iaitu pada minggu lepas dan tiga hari lalu lebih menjejaskan struktur jalan kampung berkenaan.

“Setiap kali musim banjir, air akan melimpah sampai menghakis jalan. Sebelum ini penduduk telah menambun kerosakan dengan tanah.

“Tapi struktur jalan semakin teruk terhakis akibat dua kali banjir yang terbaru,” katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Seorang lagi penduduk, Mohd Tarmizi Abdul Aziz, 44, berkata, keadaan jalan yang rosak teruk mengundang kemalangan bukan sahaja kepada penduduk tetapi pelancong.

Penduduk berharap kerosakan kampung ini segera diperbaiki pihak berwajib

“Penduduk yang melalui jalan ini pada waktu malam termasuk pendaki yang menggunakan laluan ini pada jam 2 atau 3 pagi untuk ke Gunung Pulai berisiko kemalangan.

“Sebelum ini sudah ada kereta pelancong yang jatuh tebing menyebabkan kerosakan “bumper” kereta. Mujur tidak melibatkan kecederaan.

“Saya harap pihak berwajib cepat-cepat memperbaiki kerosakan jalan sebelum berlaku perkara tidak diingini kepada pengguna,” katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.