APMM rampas dadah nilai RM 5 juta

Pegawai APMM menunjukkan dadah yang dirampas

JOHOR BAHRU– Dadah seberat kira-kira 100 kilogram dianggarkan bernilai RM 5 juta dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Tanjung Pelepas, semalam.

Dadah jenis syabu itu dirampas melalui Op Jaksa jam 9.45 malam.

APMM dalam satu kenyataan berkata, aktiviti jenayah ini telah dikesan oleh Maritim Malaysia melalui Tim Risik sebelum mengaturkan serbuan.

“Pada lebih kurang jam 9.30 malam bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot fiber yang mencurigakan dan disyaki bot penyeludup sedang bergerak keluar dari muara Sungai Boh ke perairan Tanjung Piai, disyaki ke sempadan Malaysia dan Indonesia.

“Menyedari kehadiran bot ronda Maritim Malaysia, bot fiber tersebut telah memadamkan lampu serta memecut laju ke kawasan paya bakau berhampiran dan melarikan diri ke dalam paya bakau dengan meninggalkan bot tersebut di kedudukan lebih kurang 0.5 batu nautika barat daya Pelabuhan Tanjung Pelepas,”kata kenyataan.

APMM berkata, anggota bot ronda Maritim Malaysia merapat ke bot fiber yang ditinggalkan itu dan menemukan muatan empat beg pakaian dan satu kotak.

“Pemeriksaan lanjut ke atas empat beg dan kotak itu, mendapati terdapat 98 paket bungkusan teh Cina yang mengandungi serbuk kristal, dipercayai dadah jenis syabu. Setiap bungkusan teh Cina itu dianggarkan seberat satu kilogram,”katanya.

Menurutnya kenyataan, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 5.1 juta merangkumi lebih kurang 100 kilogram dadah dipercayai jenis syabu (kristal) serta sebuah bot fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran berukuran lebih kurang 17 kaki dan empat kaki lebar dan satu unit enjin Yamaha 25 kuasa kuda.

“Rampasan kali ini merupakan kejayaan kali keenam dan terbesar Maritim Malaysia Negeri Johor dalam membanteras dan menggagalkan aktiviti jenayah penyeludupan dadah di perairan Johor bagi tahun 2020,”katanya.

Tambah kenyataan, bot fiber dan muatan di dalamnya dirampas dan dibawa ke Maritim Malaysia Negeri Johor.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.