Musytari dan Zuhal dapat dilihat dengan hanya 0.06 darjah dari bumi

kedua-dua planet itu dapat dilihat dari bumi sejajar dengan hanya 0.06 darjah sehingga kedua-dua planet tersebut kelihatan seolah-olah sebagai satu objek cerah

KUALA LUMPUR– Fenomena astronomi yang unik iaitu Ijtimak Unggul (Great Conjunction) Planet Musytari dan Zuhal memberi peluang kepada seluruh rakyat melihat planet Musytari dan Zuhal berada pada kedudukan sejajar yang sangat hampir di antara satu sama lain, hari ini.

Planetarium Negara dalam kenyataan berkata, kedua-dua planet itu dapat dilihat dari bumi sejajar dengan hanya 0.06 darjah sehingga kedua-dua planet tersebut kelihatan seolah-olah sebagai
satu objek cerah apabila dilihat dengan mata kasar.

“Peristiwa planet Musytari dan Zuhal terlalu hampir ini pernah direkodkan berlaku pada tahun 1623 iaitu kita-kira 397 tahun lalu atau hampir 400 tahun yang lepas iaitu ketika di zaman Galileo Galilei.

“Fenomena yang unik dan jarang berlaku ini hanya boleh disaksikan sekali lagi pada tahun 2080 iaitu 60 tahun dari sekarang,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan, mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) disebabkan oleh penularan wabak Covid-19 seperti yang diumumkan oleh Kerajaan, pelaksanaan program bagi fenomena ini telah disusun dan dijalankan secara dalam talian kepada orang awam.

“Teleskop Mudah Alih turut disediakan di pekarangan Planetarium Negara untuk pencerapan langit malam secara lintas langsung melalui facebook dan
youtube Planetarium Negara,” katanya.

Terdahulu, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir bercemar duli untuk berangkat ke Planetarium Negara pada hari ini sempena Program Ijtimak
Unggul (Great Conjunction) Musytari dan Zuhal. Lawatan ini adalah lawatan peribadi baginda.

Turut berkenan berangkat ke lawatan ini ialah anakanda baginda YAM
Tunku Besar Seri Menanti Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz dan
YAM Tunku Zain Al-’Abidin Ibni Tuanku Muhriz.

Lawatan ini turut dihadiri oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin, Ketua Setiausaha MOSTI Datuk Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan STI) MOSTI Datuk Parang Abai @ Thomas, Pakar Astrofizik Negara Datuk Seri Dr Mazlan Othman.

Selain itu, DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir telah berkenan untuk mengunjungi balai cerap Planetarium Negara bagi menyaksikan fenomena ini.

Pada lawatan tersebut, Datuk Seri Dr Mazlan Othman telah menyampaikan taklimat mengenai Ijtimak Unggul (Great Conjunction) Planet Musytari dan Zuhal dan simulasi langit malam.

Rentas7.com/ Foto: FB

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.