Anak yatim gembira terima baju dan peralatan sekolah

SIK– Kelab Motosikal Berkuasa Tinggi FRB dan Kelab Motosikal Kedah DG Bikers menyampaikan sumbangan berupa pakaian dan kelengkapan sekolah kepada 35 orang murid, di sini hari ini.

Murid-murid yang terdiri daripada anak anak miskin, daif dan yatim itu menerima baju, seluar, stokin, kasut dan bag sekolah serta beberapa helai pakaian sukan.

Pengarah program, Abdul Tauwab Che Ahmad ketika ditemui berkata sumbangan tersebut adalah hasil kutipan dan derma daripada ahli ahli kelab motosikal berkenaan termasuk sumbangan daripada individu yang bermurah hari membantu anak- anak miskin bersekolah.

Ismail (depan) bersama peserta konvoi datang dari jauh untuk menyantuni anak-anak yatim

“Kelab kami, FRB sentiasa prihatin terhadap anak anak miskin ini dan program seperti ini kami adakan pada setiap tahun. Pada kali ini kami sasarkan dua daerah sahaja iaitu Baling dan Sik.

“Semoga sumbangan ini dapat membantu meringankan bebanan keluarga anak anak di samping menjadikan mereka bergembira dengan pakaian serba baharu apabila sesi persekolahan bermula nanti”, katanya lagi.

Dalam program tersebut, sebanyak RM3850 dibelanjakan untuk membeli keperluan sekolah anak anak asnaf yang diadakan di sebuah kedai membeli belah di Pekan Sik.

Hadir sama seramai 38 orang penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berkonvoi dari Sungai Petani, Kulim, Baling, Alor Setar,Jitra dan Pendang.

Turut hadir Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.

Rentas7.com

Keterangan gambar: Ahli kelab motosikal berkuasa tinggi dan murid-murid yang menerima sumbangan bergambar kenangan sebelum pulang.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.