Syahbandar Pulai, pendekar Kedah terulung

ALOR SETAR- Institusi Syahbandar merupakan salah satu jawatan penting dalam sistem pemerintahan dan pentadbiran tradisi Kedah suatu ketika dahulu.

Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, Intitusi Syahbandar sudah lama diwujudkan di Kedah iaitu sebelum Kedah ditawan Siam pada tahun 1821.

Menurutnya, salah satu jawatan Syahbandar yang wujud adalah bertempat di mukim Pulai daerah Baling.

Wan Shamsudin

Beliau berkata, Pulai ketika itu dijadikan  pusat pentadbiran daerah Baling pada zaman itu.

Syahbandar tugasnya memungut cukai barang-barang dagangan yang dibawa masuk dari laluan sungai,”katanya.

Wan Shamsudin berkata, nama Pulai ketika itu amat dikenali dan ia dipilih dijadikan penempatan Syahbandar berikutan kedudukannya yang strategik.

Menurutnya, antara tempat dijadikan penempatan ketika itu ialah kawasan Sungai Limau yang merangkumi Kampung Tok Bandar dan kampung-kampung di sekitarnya.

“Kesemua kampung-kampung ini terletak di pinggir Sungai Pulai dan berhampiran gunung menjadikan kedudukannya sangat menarik dan strategik dari segi pertahanan,”katanya.

Dua Syahbandar beri sumbangan besar kepada Kedah

Beliau berkata, terdapat dua Syahbandar Pulai yang memberikan sumbangan besar kepada Kedah terutamanya ketika negeri ini berhadapan dengan ancaman Siam.

Menurutnya, sebelum Kedah ditawan musuh pada tahun 1821, Siam menggunakan pelbagai cara untuk melemahkan pemerintahan dan angkatan ketenteraan negeri ini.

“Di bawah pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ( 1804-1845), Kedah dipaksa oleh Siam untuk menyerang Patani pada tahun 1809 dan menentang pendudukan Burma di Phuket pada tahun 1810,”katanya.

Katanya, tidak cukup dengan dua arahan itu, Kedah sekali lagi diperintah untuk menyerang jirannya Perak pada tahun 1818.

Menurutnya, sewaktu pertempuran Kedah dan Perak di Kuala Kangsar, turut serta dalam perang tersebut adalah Syahbandar Pulai iaitu Datuk Bandar Tok Seri.

“Syahbandar tersebut terkenal dengan watak yang gagah dan dikatakan kebal, beliau dikatakan (sumber lisan orang -orang lama) berjaya bangun semula selepas rebah diserang oleh musuh, namun akhirnya gugur.

Syahbandar Pulai dikatakan kebal dan sukar ditewaskan musuh

“Jenazahnya pada mulanya dikebumikan di Kampung Jarak yang terletak di Seberang Perai dan akhirnya dipindahkan di Pulai, Baling ”katanya.

Katanya, Syahbandar seterusnya yang terkenal dalam sejarah Baling ialah Datuk Chik Wan Daud yang merupakan anak kepada Datuk Bandar Tok seri .

Syahbandar ditawan ke Siam

Menurutnya, akibat pelanggaran Siam pada tahun 1821, rakyat, para pembesar Kedah termasuk Syahbandar Pulai ditahan dan dibawa ke Ligor ,Siam.

“Datuk Chik Wan Daud bersama-sama ahli keluargnya yang lain ditempatkan di Kampung Tarwa (Ben Tharwa), faktor Siam turut tangkap para pembesar Kedah adalah untuk melemahkan sistem pemerintahan tradisi di negeri ini termasuk jawatan syahbandar.

Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II pula hidup dalam buangan di Melaka hasil perjanjian Burney pada tahun 1826 di antara Siam dan Inggeris,”katanya.

Bagiamanapun katanya, Datuk Chik Wan Daud bersama adiknya Chik Wang Mat Amin berjaya meloloskan diri dari kampung tersebut.

Menurutnya, dua beradik itu meredah hutan belantara dengan berpandukan bunyi burung tekukur sebelum berjaya pulang ke Pulai .

“Mereka meredah hutan bukan dalam tempoh yang pendek, tetapi perjalanan dua beradik itu untuk sampai ke Pulai mengambil masa dua hingga tiga bulan.

“Disebabkan kisah Datuk Chik Wan Daud berjaya melarikan diri berpandukan arah bunyi burung tekukur, timbul kepercayaan dalam keluarganya di mana mereka tidak dibenarkan memakan daging burung tekukur selama tujuh keturunan,”katanya.

Sambung perjuangan demi Kedah tercinta

Wan Shamsudin berkata, tujuan utama Datuk Chik Wan Daud melarikan diri adalah untuk menyambung semula perjuangannya bersama Kedah bagi menentang Siam.

Menurutnya, pada tahun 1838 dan 1839, Datuk Chik Wan Daud sekali lagi berjuang menentang Siam dengan menyertai angkatan perang Kedah berjumlah 10,000 yang dipimpin oleh Tunku Muhammad Saad.

Hasil perang tersebut, angkatan perang Kedah bukan sahaja menawan semula kota Kuala Kedah dan markas pentadbiran Siam di Alor Ganu, malah tentera Kedah yang dibantu oleh negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan beberapa kawasan di Sumatera dan Pattani itu meneruskan kemaaraan hingga wilayah selatan Siam.

Tambahnya, perjuangan itu juga berjaya mengembalikan semula Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II ke takhta.

“Disebabkan jasanya itu,sultan mengurniakan kembali jawatan Syahbandar kepada Datuk Chik Wan Daud dan sebuah cop mohor yang diperbuat daripada tanduk kerbau.

“Cop Mohor tersebut ada tulisan yang berbunyi “Raja Setia Utama,Negeri Kedah Darul Aman, Sannah 1249 Hijrah,”katanya.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.