ADUN PKR Kedah dituntut jelas sokongan sebenar

Mansor Zakaria

ALOR SETAR-Semua wakil rakyat PKR di Kedah dituntut menjelaskan sokongan sebenar politik mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, ADUN Sidam Dr. Robert Ling Kui Ee bersama wakil rakyat PKR lain di negeri ini perlu berterus terang.

Menurutnya, ia berikutan ADUN Sidam dilihat tidak lagi sehaluan dengan PKR apabila anggota dalam bahagiannya dikenakan tindakan parti.

“Jika Dr Robert bersama beberapa lagi ADUN PKR Ikhlas berjuang kepada rakyat dalam survival politik mereka,.

“Kita minta semua ADUN berkenaan nyatakan pendirian secara terang bahawa mereka tidak lagi menyokong PH Kedah,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Terdahulu, PKR dilaporkan bergolak apabila parti itu menggantung dan memecat beberapa anggota parti berkenaan.

Tindakan tersebut dianggap Robert sebagai tidak kena pada masanya memandangkan situasi negara yang masih berdepan COVID-19 termasuk ketika umat Islam menjalani ibadah puasa.

Robert yang juga Ketua Bahagian Sungai Petani turut kecewa dengan tindakan diambil terhadap anggota bahagiannya dan beliau menyifatkan perkara itu sebagai tidak adil.

Mansor berkata, tindakan tatatertib terhadap anggota bahagian Dr. Robert mungkin kerana faktor beliau menyokong kumpulan bekas Timbalan Presiden PKR iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru katanya, ADUN berkenaan bersama beberapa wakil rakyat lain tidak seharus menyembunyikan lagi sokongan sebenar mereka.

Sebaliknya katanya, mereka diminta menyatakan sokongan kepada kerajaan Pusat ataupun menyokong kumpulan Azmin Ali yang telah bersama PN.

 

“Tetapi jika mereka nyatakan sokongan kepada Maufakat Nasional ( MN) atau PN, kita yakin Kedah akan beralih pucuk pimpinan dan sudah tentu akan mencetuskan gerakan politik yang baru di negeri ini.

“Ia akan menjadikan kerajaan yang akan memerintah Kedah selari dengan pemerintahan kerajaan Pusat yang dipimpin PAS, UMNO dan Bersatu yang menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,”katanya.

Dalam masa sama, Mansor berkata, beliau sangat pelik dengan sikap Mukhriz Mahathir yang membuat keputusan berlawanan dengan kepimpinan parti Bersatu.

“Kita pelik di Kedah ini, Mukhriz daripada Bersatu tetapi menentang kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat yang juga daripada Bersatu.

“Ini satu yang sangat pelik dan belum pernah lagi berlaku,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.