BALING– Penduduk Kampung Mengkuang Tengah berharap pihak berkuasa dapat menurapkan jalan kampung yang belum pernah diturap sejak 60 tahun lalu.
Kawasan berkenaan menempatkan lima buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 25 orang.
Wakil Penduduk, Harun Bidin,60, berkata, satu-satunya jalan utama buat penduduk kampung itu dibina secara gotong royong.
Menurutnya, ia belum pernah diturap sejak 60 tahun lalu oleh mana-mana kerajaan yang mentadbir.
“Sebahagian jalan disimen menggunakan duit penduduk kampung dan selebihnya masih lagi dibiarkan bertanah merah ekoran kekangan kewangan.
“Setiap kali hujan lebat kawasan tidak disimen pasti akan becak. Budak-budak sekolah pun lalu kawasan ini,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Katanya, lebih memburukkan keadaan apabila terdapat laluan tanah merah yang telah runtuh baru-baru ini akibat hakisan banjir.
“Jalan ini pun dah berbelas kali runtuh dan terbaru pada bulan ini. Setiap kali runtuh setiap kali itulah kami terpaksa memperbaiki sendiri.

“Penduduk berharap di bawah kerajaan baru yang ada, jalan kampung ini dapat diturap selain memperbaiki bahagian yang telah runtuh,”katanya.
Tambahnya, kebanyakan pengguna luar turut melalui laluan berkenaan kerana mempunyai urusan tertentu di kampung tersebut.
Sementara itu, Setiausaha Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dun Kupang, Mohd Sabri Abu Bakar berkata, masalah berkenaan telah dipanjangkan kepada kerajaan negeri bagi tindakan selanjutnya.
Terdahulu, Sabri bersama penduduk meninjau keadaan jalan berkenaan hari ini.
Rentas7.com








Leave a Reply