SUNGAI LAYAR- Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Layar (SUNLAY), Dato’ Dr Mustaffa Idrus, menawarkan saguhati sehingga RM5,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan semua A+ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2026.
Tawaran itu merupakan antara inisiatif PIBG bagi menyuntik semangat pelajar untuk mencapai kecemerlangan akademik, selain menghargai kesungguhan mereka dalam menghadapi peperiksaan penting berkenaan.
Pelajar yang memperoleh keputusan straight A+ akan menerima saguhati RM5,000, manakala pelajar yang mendapat straight A pula ditawarkan RM1,000.
Selain itu, saguhati RM20 bagi setiap mata pelajaran yang memperoleh gred A turut disediakan bagi menggalakkan lebih ramai pelajar berusaha mencapai keputusan terbaik.
Dato’ Dr Mustaffa berkata, pemberian saguhati itu diharapkan dapat menjadi pendorong kepada pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai keputusan yang membanggakan.
“Kita mahu anak-anak SUNLAY mempunyai semangat yang tinggi untuk berjaya. Saya berharap insentif ini dapat memberikan motivasi kepada mereka untuk berusaha mencapai kecemerlangan dalam SPM 2026. Saya juga akan meneruskan pemberian hadiah kepada pelajar yang lulus SPM sebagai galakan kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, hubungan erat antara pentadbiran sekolah dengan PIBG turut dizahirkan menerusi penganjuran Majlis Bacaan Yasin dan Kenduri Rakyat yang berlangsung pada Ahad, 25 Oktober 2026, bermula jam 12 tengah hari.

Majlis berkenaan menyaksikan Dato’ Dr Mustaffa Idrus bersama barisan AJK PIBG, pengetua dan guru-guru bergotong-royong menjayakan program bagi mengeratkan hubungan dalam kalangan warga sekolah.
AJK PIBG, Tuan Fahmi, yang juga seorang pengusaha lembu yang berjaya, menyumbangkan seekor lembu bagi menjayakan kenduri tersebut, manakala sumbangan lain ditanggung sepenuhnya oleh Dato’ Dr Mustaffa Idrus dan AJK PIBG lain termasuk para guru.
Dato’ Dr Mustaffa merakamkan ucapan terima kasih kepada Tuan Fahmi atas sumbangan berkenaan serta menghargai kerjasama semua pihak yang bersama-sama menjayakan majlis itu.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Tuan Fahmi atas sumbangan seekor lembu untuk kenduri ini. Saya juga menghargai komitmen semua AJK PIBG, pengetua dan guru-guru yang bergotong-royong menjayakan program ini. Semangat seperti inilah yang perlu kita kekalkan demi kebaikan warga sekolah,” katanya.
Beliau berkata, hubungan baik antara pentadbiran sekolah dengan PIBG merupakan asas penting dalam memastikan kebajikan warga sekolah dan pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan secara bersama.
“Pengetua SUNLAY, Cikgu Tuan Haji Shamsudin Salleh, turut memainkan peranan penting dalam memelihara hubungan harmoni antara pentadbiran sekolah dengan PIBG, selain disenangi oleh guru-guru dan barisan jawatankuasa persatuan berkenaan.
“Apabila pihak sekolah dan PIBG mempunyai hubungan yang baik, banyak perkara dapat dilaksanakan demi kepentingan pelajar. Kita mahu sekolah menjadi rumah kedua yang menyatukan guru, ibu bapa dan masyarakat dalam mendidik generasi masa depan.
“Kerjasama yang terjalin itu diharapkan dapat diteruskan bagi memperkukuh budaya gotong-royong, meningkatkan motivasi pelajar dan merealisasikan aspirasi “Sekolahku Rumahku” demi kepentingan seluruh warga SUNLAY,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply