Tentera dan aset ditambah di Sabah

KUALA LUMPUR-Jumlah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan ditambah di Sabah bagi menghadapi segala ancaman luar.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan juga akan menambahkan aset ketenteraan di negeri itu.

“Tentera Darat Malaysia (TDM) mampu untuk mempertahankan bumi Sabah dari segala ancaman termasuk ancaman luar,”katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan lawatan kerja di kem tentera darat, Kem Sri Kinabatangan Sandakan Sabah bagi melihat kesiapsiagaan TDM.

Hubungan Malaysia- Filipina ketika ini sedikit tegang ekoran keberanian Filipina menyatakan tuntutan terbuka menuntut Sabah.

Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr pada 27 Julai lalu mengeluarkan kenyataan panas bahawa Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia.

Pada 1 September berikutnya, Loscin dilaporkan mahu menghidupkan semula pejabat di Jabatan Hal Ehwal Luar (DFA) yang dikhaskan untuk merebut Sabah.

Selain berdepan tuntutan itu, Sabah turut menjadi sasaran pendatang asing tanpa izin (PATI) yang menyebabkan peningkatan mendadak COVID-19 di negeri itu.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.