Tembak pencari hasil hutan, tentera Thailand mohon maaf

PATANI– Tentera Thailand menyatakan kesilapan selepas menembak mati tiga lelaki yang sedang mencari rezeki di hutan di Bukit Tak Wey, Ra-ngae, wilayah Narathiwat pada 16 Disember lalu.

Ketiga-tiga lelaki Muslim itu terbunuh dalam operasi ketenteraan yang menyasarkan kumpulan “pemisah” di bukit berkenaan.

Tentera dilaporkan turut memohon maaf di atas insiden itu, sesuatu yang sangat jarang dilakukan tentera Thailand semenjak tercetus konflik berdarah pada 2004.

INews.id yang memetik AFP melaporkan, permohon maaf itu dibuat komander Wilayah Angkatan Darat ke-4, Lt. General Pornsak Poolsawat.

Pornsak dipetik sebagai berkata, tentera mengakui melakukan kesilapan dalam operasi itu hingga membawa kepada penembakan ketiga-tiga mangsa.

“Ketiga orang yang ditembak mati merupakan penduduk desa, bukan militan,” katanya seperti dilaporkan AFP pada semalam.

Pornsak berkata, beliau berjanji tentera akan melakukan siasatan sama ada tentera terlibat sengaja melepaskan tembakan atau sebaliknya.

Pada 16 Disember tiga pemuda berusia 24,26 dan 27 tahun yang bekerja sebagai penebang pokok dan petani ditembak askar di bukit tersebut.

Operasi itu dilaporkan pertempuran di antara tentera dengan anggota Gerakan Patani Merdeka.

Pembunuhan itu menimbukan kemarahan penduduk kampung yang mahu tentera memeriksa fakta sebenar dan mendedahkan kepada umum termasuk mengambil tindakan ke atas askar terbabit.

Konflik keamanan yang telah tercetus lebih sedekad lalu telah mengorbankan lebih 7,000 nyawa termasuk orang awam.

Artikel berkaitan:http://rentas7.com/ayah-sedih-anak-ditembak-jadi-mangsa-keadaan/

Rentas7.com/ Foto: AFP

Keterangan gambar: Ahli keluarga mangsa tidak dapat mengawal kesedihan selepas ahli keluarga tercinta dibunuh

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.