PKPD dua minggu di Selangor sudah mencukupi

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Tempoh dua minggu pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sudah mencukupi untuk Selangor.

Ahli Dewan Tertinggi Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Datuk Mustaffa Idrus berkata, melanjutkan lagi PKPD di Selangor dibimbangi memberi kesan lebih teruk kepada ekonomi dan kesihatan mental rakyat negeri itu.

Menurutnya, lanjutan tempoh PKPD mencukupi dilaksanakan secara bersasar dengan menutup hanya lokaliti berisiko, bukannya keseluruhan tempat atau premis.

“Rakyat Selangor tinggal di bandar, bukannya kampung. Sumber mereka bergantung kepada pekerjaan. Jika terus dikurung, berapa ramai lagi akan terputus pendapatan?

“PUTRA khuatir lebih ramai yang terkesan baik kewangan mahupun emosi. Lainlah PKPD di kawasan kampung, banyak sumber yang boleh seseorang itu bergantung seperti ulam, ikan darat dan sebagainya,”katanya hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi PUTRA Kedah berkata, menutup semua kilang sedangkan ada kilang tidak berisiko bukan jalan yang ideal mengurangkan kes COVID-19.

“Nak tutup, tutuplah yang memang dikesan ada kes atau kluster. Janganlah yang tidak ada kes pun mahu ditutup.

“Bagi yang dibenarkan operasi, kerajaan perlu memastikan pastikan bukan sahaja pihak premis mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, tetapi perlu disusuli dengan tinjauan yang kerap oleh pihak berkuasa,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan diharap mendengar dan mengambil kira saranan berkenaan demi kebaikan semua pihak termasuk negara.

Rentas7. com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.