Pemandu teksi kurang senang dengan Gojek

KUALA LUMPUR- Pemandu teksi kurang senang dengan hasrat kerajaan yang mahu melaksanakan teksi motosikal atau dikenali Gojek.

Seorang wakil teksi dikenali sebagai Mahmud,65, berkata, perkhidmatan itu akan memberi kesan kepada sumber pendapatan pemandu teksi.

Menurutnya, kemasukan Gojek membuatkan pemandut teksi berdepan saingan lebih sengit di mana kini mereka telah pun bersaing dengan banyak perkhidmatan e- panggilan.

“Majoriti pemandu teksi memang lah tak setuju, tetapi kami tidaklah menghalang Gojek itu beroperasi. Semua rezeki ALLAH yang bagi,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Katanya, Gojek dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, namun di bandar pesat seperti Kuala Lumpur perkhidmatan itu mengundang bahaya kepada penunggang dan pembonceng.

Menurutnya, selain aspek keselamatan yang perlu diberi penekanan, kerajaan perlu memperhalusi perkara lain seperti jantina penunggang dan pembonceng.

“Kena tengok juga siapa yang bawa, siapa yang menunggang. Adakah lelaki menunggang dan perempuan bonceng atau sebaliknya?

“Perlu ada satu sistem di mana penunggang lelaki untuk pembonceng lelaki dan wanita pula untuk wanita saja,”katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberi kebenaran kepada syarikat hailing permotoran beroperasi mulai Januari tahun depan.

Kerajaan bagaimanapun mengenakan syarat kepada syarikat di mana perkhidmatan tersebut perlu dijalankan dalam tempoh ujian Proof of Concept (POC) untuk menilai sistem sementara menunggu undang-undang diluluskan.

Antara syarat dalam POC, operasi dihadkan di Lembah Klang, penunggang dan pembonceng berusia 18 tahun ke atas dan hanya seorang pembonceng boleh dibawa pada satu masa.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.