MOSTI lancar DSTIN 2021-2030 dan MySTIE bagi memacu pembangunan tempatan

Khairy Jamaluddin

KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin hari ini melancarkan dua inisiatif nasional iaitu Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 serta Rangka Kerja 10-10 Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MySTIE).

Melalui kedua-dua inisiatif ini, peranan sains, teknologi dan inovasi (STI) negara akan dilonjakkan lagi dalam pertumbuhan ekonomi bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi.

Khairy berkata, gabungan DSTIN dan MySTIE akan memastikan kemajuan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada masa yang sama, dasar baharu ini juga akan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing.

“Ia juga bakal membantu negara mencapai matlamat meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada RM3.4 trilion menjelang 2030,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, DSTIN 2021-2030 menggariskan enam (6) teras strategik; 20 strategi dan 46 inisiatif bagi memperhebatkan usaha-usaha pembangunan dan pengaplikasian teknologi tempatan dalam usaha mentransformasikan negara daripada pengguna teknologi kepada pembangun teknologi.

Sementara itu katanya, rangka kerja 10-10 MySTIE yang dibangunkan oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) akan berfungsi sebagai pemangkin bagi mencapai usaha itu melalui penetapan 30 bidang keutamaan penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara yang memenuhi keperluan industri.

“MOSTI juga telah mengumumkan 10 Program Lonjakan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE).

“Antaranya ialah mewujudkan Technology Commercialisation Accelerator (TCA), Malaysia Science Endowment (MSE), National Technology Innovation Sandbox (NTIS) dan penubuhan National Vaccine Centre, yang akan memacu usaha-usaha pembangunan teknologi tempatan dan pengkomersialan hasil R&D negara,”katanya.

Beliau berkata, kementerian akan memastikan supaya bidang sains dan teknologi dapat memberi manfaat kepada semua pihak secara inklusif tanpa ada pihak yang terpinggir, seterusnya mewujudkan masyarakat yang berpemikiran saintifik dalam menuju negara maju dan berteknologi tinggi.

“Dalam hal ini, dasar baharu tersebut menggariskan pewujudan pusat komuniti sains berkonsepkan ruang reka (maker space) di lokasi-lokasi strategik di kawasan bandar dan luar bandar,”katanya.

Terdahulu, Khairy menjelaskan Malaysia menunjukkan peningkatan ranking dalam Indeks Inovasi Global (Global Innovation Index – GII) 2020 daripada tangga ke-35 pada tahun 2019, ke tangga ke-33 daripada 131 negara pada tahun ini.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada di tangga ke-2 di belakang Singapura, manakala dalam kalangan negara berpendapatan menengah tinggi (upper middle-income group), Malaysia juga berada di tangga ke-2 selepas China.

Pada majlis itu juga, beliau telah menyampaikan tiga (3) anugerah iaitu Anugerah Saintis Muda Negara 2020 (Sains Fizikal) yang dimenangi oleh Dr. Ho Wai Shin dari Universiti Teknologi Malaysia; Anugerah Saintis Muda Negara 2020 (Sains Hayat) yang dimenangi oleh Dr. Wan Mohd Aizat Wan Kamaruddin dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Anugerah Juruteknik (Sains) Negara 2020 yang dimenangi oleh Puan Hasliana Kamaruddin dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Setiap pemenang Anugerah ini membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000.00, sijil dan piala.

Selain itu, pemenang Anugerah Saintis Muda Negara bagi kedua-dua kategori juga akan menerima Hadiah Geran Penyelidikan bernilai sehingga RM500,000.00 tertakluk kepada terma dan syarat.

Rentas7.com

 

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.