Masjid Kresik Patani simpan 1001 kisah

Masjid Kresik Patani Darussalam

PATANI-Masjid Kresik atau namanya Masjid Sultan Muzaffar Shah merupakan lambang kemegahan tamadun Melayu Islam di Asia Tenggara.

Lokasinya di tepi lebuh raya Narathiwat-Patani menjadikan masjid ini sentiasa menjadi tempat persinggahan pelancong seluruh dunia termasuk dari Malaysia.

Menurut catatan sejarah, masjid itu dibina ketika era kegemilangan tamadun Patani Darussalam pada kurun ke 16 hingga 18.

Patani ketika itu dipimpin Sultan pertama iaitu Sultan Ismail Shah (1500-1530).

Baginda menitahkan masjid itu dibina pada 1514 selepas menerima pandangan seorang ulama bernama Syeikh Shafiyuddin Al Abbas. ( Ulama faqih digelar yang digelar Datuk Faqih Diraja).

Ia dijadikan masjid rasmi kerajaan Patani Darussalam selain sebagai pusat keilmuan Islam.

Mencerita lanjut kisah masjid berusia lebih 500 tahun ini, Imam Masjid Kresik, Zakaria Md Sin,64, berkata, binaan diasaskan Sultan pertama Patani itu siap sepenuhnya di bawah pemerintahan Sultan Muzaffar Shah (1530-1544).

“Bata masjid diikat menggunakan pasir putih, telur putih, beras pulut hitam dan kulit kerang yang ditumbuk lumat. Kemudian campurannya dicampur dengan adunan telur putih dan manisan.

“Kaedah ini melambangkan kebijaksanaan Orang Melayu pada zaman tersebut,”katanya.

Tambahnya, struktur Masjid Kresik dibiarkan seperti bentuk asal kerana kerajaan mahu mengekalkan seperti identiti asal.

“Jika ubah, kita tak akan dapat lihat lagi rupa masjid sebenar,”katanya.

Katanya lagi, kisah masjid itu juga dekat dengan kisah Hang Tuah dan Hang Jebat.

“Dua orang pendekar itu dikatakan pernah ke sini bagi membantu kerajaan Islam Patani berperang dengan Siam.

“Kata orang-orang lama, tubuh Hang Tuah dan Hang Jebat tak lut dengan tikaman musuh,”katanya.

Ruang dalam Masjid Kresik

Beliau berkata, bukti kehadiran dua pejuang dari kerajaan Melaka itu dapat dilihat pada peninggalan sebuah telaga.

“Di Kampung Kresek, ada telaga dikatakan dikorek Hang Tuah dan Hang Jebat. Lokasinya dekat saja dari masjid

“Air telaga tak pernah kering. Orang kampung selalu guna untuk minum, mandi dan ambil wuduk,”katanya.

Tragedi berdarah 2004

Zakaria berkata, peristiwa pembunuhan sembilan lelaki pada 28 April 2004 dalam masjid itu sukar dilupakan.

Mengimbau kembali kenangan pahit itu, Zakaria berkata, 14 individu tidak dikenali datang menunaikan solat Asar sehari sebelum kejadian.

“Mereka datang solat Asar pada hari Rabu dan tidur di sini hingga Subuh.

“Selepas solat Subuh mereka minta saya pulang ke rumah. Lima daripadanya kemudian pergi ke kem askar berhampiran”katanya.

Katanya, lima ahli kumpulan itu kemudian dibunuh tentera selepas cuba merampas senjata di kem berkenaan.

“Lima keluar, sembilan orang lagi berada dalam masjid.

“Mereka yang keluar cuba rampas senjata, tapi tak berjaya kerana senjata itu disangkut di leher dan akhirnya ditembak mati,”katanya.

Zakaria berkata, sekeliling masjid dikepung askar termasuk helikopter dari udara.

“Tak lama selepas itu, seluruh kawasan masjid termasuk udara telah dikepung.

“Sampai satu ketika, askar lepaskan tembakan kepada sembilan orang yang bersembunyi dalam masjid,”katanya.

Menurutnya, beliau antara individu yang bertanggungjawab mengutip cebisan daging sembilan individu tersebut.

“Daging sembilan orang itu diserahkan kepada waris keluarga masing-masing,”katanya.

Kebesaran ALLAH di masjid Kresik

Zakaria berkata, 83 kesan das tembakan masih berbekas di dinding masjid.

“Kesan peluru pun kita boleh lihat lagi. Ada kesan lubang yang telah ditampal.

“Di dinding ada 83 kesan tembakan manakala di lantai tak dapat dipastikan sebab banyak”katanya sambil menunjuk kesan tembakan senjata jenis APK di dinding.

Namun katanya, tembakan bertalu-talu daripada pasukan keselamatan tidak hancukan masjid tersebut.

“Inilah kuasa ALLAH, DIA pelihara masjid ini. Cuma rosak sedikit tu ada lah,”katanya.

Zakaria menunjukkan kesan peluru pada dinding masjid

Beliau berkata, akibat kejadian itu, lantai luar, bahagian dalam masjid termasuk bumbung telah diubah suai.

“Tetapi sebahagian besar masih lagi asli dan kekal hingga hari ini,”katanya.

Tragedi Kresik antara peristiwa besar menimpa umat Islam di selatan Thailand ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra.

Ia disusuli beberapa insiden lain sebelum tercetus tragedi Tak Bai yang memakan korban lebih 100 orang.

Konflik selatan Thai masih gagal diselesaikan hingga kini.

Tamat

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.