Malaysia memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP)

Muhyiddin Yassin selesai hadiri sidang secara maya

KUALA LUMPUR-Malaysia memeterai Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perjanjian itu dimaterai selepas perbincangan yang mengambil masa lapan tahun sejak tahun 2013.

“Saya telah menyaksikan upacara pemeteraian perjanjian bersejarah itu yang ditandatangani oleh Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas Sidang Kemuncak RCEP ke-4 secara maya.

“Perjanjian Kerjasama Strategik Komprehensif Serantau (RCEP) ini dijangka meningkatkan integrasi ekonomi serantau, mempromosikan aliran pelaburan dan memperkuat rantaian bekalan global,”katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Malaysia, ASEAN dan rakan perjanjian perdagangan bebas (FTA), ingin menunjukkan kepada dunia bahawa 15 buah negara dapat bersatu untuk membuat perjanjian perdagangan.

Menurutnya, ia akan saling menguntungkan walaupun dengan tahap pembangunan ekonomi yang berbeza.

“Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga adalah jalan terbaik untuk membantu mempertahankan daya saing melalui promosi perdagangan antarabangsa, mendorong pelaburan dan memastikan pembangunan modal insan yang berterusan.

“Kerajaan juga yakin bahawa Perjanjian RCEP sangat penting buat rantau ini menangani dan mengurus pandemik COVID-19 serta boleh membantu negara-negara ahli melakukan pemulihan ekonomi,”katanya.

Terdahulu, Muhyiddin Yassin menghadiri persidangan melalui secara Maya di Hotel Hilton.

Vietnam dipilih sebagai tuan rumah bagi persidangan tahun ini dengan dipengerusikan Perdana Menterinya, Nguyen Xuan Phuc.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.