Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) akan ditubuhkan pada bulan Ogos depan

PUTRAJAYA, 18 Julai 2022 – Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022[Akta 834] telah diwartakan pada 25 Januari 2022 untuk mengawal selia aktiviti berkaitan angkasa bagi tujuan keselamatan, mengawal selia pendaftaran objek angkasa dan mengadakan peruntukan bagi kesalahan berkaitan aktiviti angkasa.

Akta ini juga akan memastikan aktiviti angkasa negara dilaksanakan secara
bertanggungjawab, selamat dan terjamin serta mematuhi segala peraturan dan piawaian yang dipersetujui di peringkat antarabangsa terutamanya melalui United Nations Office for Outer Space Affairs (UNOOSA).

Pada masa yang sama, akta ini dapat melengkapkan ekosistem pembangunan
teknologi angkasa negara ke tahap yang lebih tinggi.

Sebagai permulaan, bagi memastikan Akta ini dapat dilaksanakan dengan
efektif dan berkesan, Lembaga Angkasa Malaysia (Interim) akan ditubuhkan
pada bulan Ogos 2022.

Lembaga ini akan dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Zainal Abidin Abu Hassan, dengan ahli-ahli daripada Kementerian dan Agensi yang berkaitan.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr. Adham
Baba, pada fasa awal, Lembaga Angkasa Malaysia 2022 bertanggungjawab untuk menasihati kerajaan Malaysia mengenai perkara-perkara berhubung persiapan pelaksanaan dan pentadbiran Akta ini.

“Ini termasuk memantau dan menilai penggubalan draf peraturan-peraturan
serta menyediakan garis panduan dan arahan bersesuaian sebelum
dikuatkuasakan pada awal tahun 2023.” katanya.

Buat masa ini, pihak syarikat dan industri adalah dinasihat supaya
mendaftarkan satelit atau sebarang objek angkasa yang telah dilancarkan
kepada MOSTI.

Setelah Akta berkuat kuasa, semua objek angkasa yang telah dilancarkan sebelum ini adalah tertakluk di bawah Akta 834 dan hendaklah didaftarkan dalam tempoh enam bulan dari tarikh Akta berkuat
kuasa.

Maklumat lanjut berkaitan Akta 834 boleh dimuat turun melalui pautan
https://www.mosti.gov.my/dasar/ .

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.