JAS serbu premis proses tong drum berisi sisa toksik

Gambar yang diambil melalui drone menunjukkan parit di belakang premis dipenuhi cecair berwarna putih akibat aktiviti cucian tong-tong terpakai

KLANG- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) telah menyerbu sebuah premis yang didapati menjalankan aktiviti mencuci tong-tong terpakai
secara haram di Jalan Telok Gong, Pelabuhan Klang, hari ini.

Pengarah JAS Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, aktiviti di premis tersebut didapati menjadi punca kepada pembentukan buih berwarna putih di dalam parit di sekitar kawasan perumahan Taman Ubudiah.

“Semasa serbuan yang dijalankan oleh pihak JAS Selangor dan MPK pada 10.00 pagi, kawasan lantai dan longkang premis didapati masih basah walaupun premis tidak menjalankan sebarang operasi.

“Seorang pekerja warga asing telah berjaya melarikan diri sebaik sahaja pihak berkuasa memasuki premis,”katanya petang ini.

Beliau berkata, siasatan mendapati sebuah kawasan berbumbung anggaran 90 kaki persegi telah dijadikan tempat mencucit tong-tong terpakai.

Gambar buih berwarna putih yang diadukan oleh penduduk Taman Ubudiah, Telok Gong

“Air cucian termasuk sisa buangan terjadual telah dialirkan secara haram ke dalam parit yang terletak di belakang premis tanpa sebarang proses pengolahan.

“Siasatan lanjut mendapati premis berkenaan memperolehi tong-tong terpakai daripada kawasan industri di sekitar Daerah Klang, Selangor,”katanya.

Beliau berkata, tong-tong yang telah bersih kemudiannya dijual semula kepada kilang-kilang seperti kilang pembuatan bahan kimia untuk tujuan isian semula (refill).

“Dua sampel sisa buangan terjadual yang terdapat dalam tong-tong terpakai telah diambil sebagai bahan bukti dan kawasan pencucian turut dikepung dengan pita amaran bagi mengelakkan pencerobohan bahan bukti di premis.

“Pemilik premis tersebut telah menyalahi Jadual Pertama, Peraturan-
Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 yang mana
tong-tong terpakai merupakan buangan terjadual dengan kod deskripsi
SW 409 dan aktiviti kitar semula ini hendaklah memperolehi lesen
daripada JAS,”katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kertas siasatan telah dibuka untuk pendakwaan di mahkamah bagi kesalahan-kesalahan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974.

Pegawai JAS sedang mengambil sampel buangan yang terdapat dalam salah sebuah tong drum

“Seksyen 34A iaitu gagal mengemukakan laporan mengenai kesan kepada alam sekeliling akibat aktiviti yang ditetapkan.

“Seksyen 34B iaitu menempatkan buangan terjadual di premis tanpa mendapat apa-apa kelulusan daripada Ketua Pengarah.

“Seksyen 18(1) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa lesen daripada Ketua Pengarah; dan

“Seksyen 19(a) iaitu menjalankan aktiviti di premis yang ditetapkan tanpa mendapat apa-apa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah,”katanya.

Beliau berkata, peralatan yang digunakan dalam proses cucian turut dikenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan.

Operasi ini telah dijalankan dengan mematuhi semua Prosedur Operasi
Standard (SOP), arahan dan langkah-langkah keselamatan serta kesihatan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak Covid-19 dalam negara.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.