Isu Sajat: Mufti Perlis jelas laporan media

Sajat yang bertelekung wanita ketika menunaikan ibadah umrah di Makkah mencetuskan kemarahan ramai

 

ARAU– Mufti Perlis mendakwa kenyataannya berkaitan usahawan kosmetik, “Nur” Sajat dilaporkan secara tidak tepat oleh beberapa buah media.

Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, media seperti Awani, Malaysiakini, Metro serta yang lain  membuat ayat sendiri berhubung kenyataannya tentang lelaki bernama Sajat.

“Saya tidak kata beliau tidak boleh dikecam atau dikritik. Saya kata jangan melaknat beliau secara peribadi,”katanya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Asri

Beliau berkata, Islam melaknat perbuatan tapi tidak melaknat individu secara mutlak melainkan mereka yang pasti dilaknat secara khusus seperti iblis dan Firaun.

“Kemudian, cara kita hebohkan tindakan beliau pakai telekung itu mungkin menjadi promosi percuma kepada diri dan produknya. Padahal, satu isu lekeh yang dilakukan untuk mempromosikan diri.

“Akhirnya, banyak pondan dan darai dalam negara kita yang kita biarkan. Bahkan kita raikan aksi-aksi mereka dalam filem dan karya.

“Tiba-tiba sahaja kita bising setelah dia pakai telekung di Mekah. Kita patut bantah sejak di Malaysia lagi!,”katanya.

Mohd Asri turut mendesak kerajaan supaya mengharamkan aksi-aksi lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dalam media di negara ini.

“Itu yang patut kita gesa. Apapun, mereka semua dan kita memerlukan doa hidayah agar ditunjukkan jalan yang ALLAH redhai,”katanya.

Terdahulu, laporan media tentang komen Asri mengenai Sajat menimbulkan kecaman ramai netizen terhadap mufti itu.

Sajat yang terbabit dengan kontroversi jantinanya sekali lagi mengundang kemarahan ramai apabila bergambar di depan Kaabah dengan memakai telekung wanita ketika menunaikan ibadah umrah.

Perbuatannya itu membuatkan pelbagai pihak mahukan lelaki itu dikenakan tindakan undang-undang oleh kerajaan Arab Saudi.

Rentas7.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.